Khamis, 17 November 2016 | 9:05am

Pahang bakal jadi hab pengeluaran susu segar negara


Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (dua dari kiri) melihat lembu tenusu ketika berkenan mencemar duli melakukan lawatan kerja ke Risda Muadzam Shah, hari ini.Turut hadir Ketua Pengarah Risda Datuk Dr Sharif Haron (kiri). - Foto BERNAMA

ROMPIN: Pahang bakal menjadi hab utama pengeluaran susu segar negara dalam tempoh tiga tahun akan datang dengan keupayaan membekalkan antara 10 juta hingga 15 juta liter susu setahun.

Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Sharif Haron berkata, walaupun kini Pahang hanya membekalkan tidak sampai lima peratus daripada 60 juta liter keperluan susu segar negara, namun dengan adanya projek ternakan tenusu baharu usahasama MARDI Holding Sdn Bhd dan Touch Milk, hasrat itu mampu direalisasikan.

"Kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berhasrat menjadikan Pahang sebagai hab utama pengeluaran susu segar negara.

"Menteri sendiri (Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek) mahukan Muadzam Shah menjadi lembah tenusu dengan turut melibatkan kawasan Rompin dan sebahagian dari Segamat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui selepas lawatan kerja Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah ke MARDI Muadzam Shah di sini hari ini.

Lawatan kerja berkenaan turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI, Datuk Mohd Fadhil Osman dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Muhammad Safiyan Ismail.

Pada majlis itu Tengku Abdullah turut menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara MARDI Holding Sdn Bhd dan Touch Milk mewujudkan satu lagi ladang tenusu baharu di Muadzam Shah membabitkan kawasan seluas 250 hektar milik MARDI.

Mengulas lanjut, Sharif berkata pada masa kini katanya, Pahang menjadi antara negeri ketiga terbanyak menyumbangkan pengeluaran susu segar negara selain Sabah dan Johor.

"Di Pahang kami mempunyai empat ladang tenusu di sekitar kawasan Gambang dan Muadzam yang setiap satu mampu mengeluarkan antara satu hingga empat juta liter susu segar setahun.

"Ladang tenusu baharu ini yang dijangka bakal beroperasi tahun depan mampu menyumbangkan sehingga empat juta liter susu segar setahun membabitkan antara 1,000 ekor sehingga 1,200 ekor ternakan lembu tenusu di ladang itu," katanya.

Sementara itu, Mohd Fadhil berkata, perjanjian antara MARDI Holding Sdn Bhd dan Touch Milk itu adalah menifetasi sebahagian daripada beberapa inisiatif MARDI untuk memasuki era pengkormersilan dalam industri tenusu.

"Ia memberi satu kesempatan untuk MARDI mengembangkan kepakaran, pengetahuan dan teknologi dalam bidang ternakan di lapangan secara komersil dan dengan adanya perjanjian ini, ia diharap dapat menyerlahkan lagi peranan agensi di dalam pembangunan ternakan di Muadzam," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X