Khamis, 17 November 2016 | 12:14am

Daging aqiqah tidak boleh dinikmati sendirian


GAMBAR hiasan majlis aqiqah.

SAYA ada tiga orang adik beradik lelaki berniat membuat aqiqah enam anak termasuk anak saya dengan seekor lembu. Bolehkah ibu bapa yang berniat aqiqah memakan daging dan bolehkah dijamu hidangan daging itu kepada tetamu bukan Islam.

Perkara penting yang perlu kita fahami ialah hukum aqiqah adalah sunat yang dituntut oleh Islam khususnya untuk ibu bapa yang baru menimang cahaya mata. Ini berdasarkan kata-kata Aisyah: "Sesungguhnya haiwan korban untuk aqiqah itu tidak dipatah-patahkan di bahagian tulangnya, ia juga adalah untuk dimakan oleh kita dan diberi makan (kepada fakir miskin)." (Ibn Abi Shaybah)

Daripada kenyataan Aisyah itu, dapatlah dijelaskan bahawa daging haiwan aqiqah boleh dimakan oleh ibu bapa anak yang diaqiqahkan. Mereka mestilah tidak memakan daging itu berseorangan tanpa menjamu ahli keluarga terdekat, jiran tetangga, sahabat handai, fakir miskin dan sebagainya.

Tujuan aqiqah adalah untuk menunjukkan tanda syukur kepada Allah SWT atas kurniaan terbesar itu. Maka sudah semestinya ia tidak akan menjadi kenyataan hinggalah agihan daging yang telah dimasak diberi kepada mereka yang sepatutnya.

Berhubung hukum golongan bukan Islam memakannya ketika majlis aqiqah berlangsung. Ulama telah berselisih pandangan dalam penentuan hukumnya. Terdapat sebahagian ulama mengharamkan dan ada pula yang membenarkannya secara mutlak (tanpa sebarang syarat).

Bagi menghormati kedua-dua pandangan itu, maka beberapa kaedah boleh dipakai bagi mengelakkan kerumitan supaya lebih sesuai serta praktikal dengan realiti semasa.

Haram jika semua daging aqiqah itu diberikan sepenuhnya kepada golongan bukan Islam berdasarkan sabda Nabi SAW: "Janganlah kamu bersahabat dengan bukan Islam dan jangan kamu memberi makan kecuali mereka yang bertakwa." (Riwayat Abu Dawud)

Makruh menjamunya kepada golongan bukan Islam jika masih terdapat sebahagian besar golongan fakir miskin yang beragama Islam di sekitarnya.

Harus menjamu sebahagian kecil daripada daging aqiqah kepada golongan bukan Islam jika tujuannya untuk dakwah. Mungkin tuan rumah terpaksa menjamu golongan berkenaan bagi memenuhi tuntutan kejiranan yang tidak dapat dielakkan.

Walau bagaimanapun, terdapat cara lain untuk mengelakkan pertelingkahan dalam hukum ini iaitu dengan membeli beberapa kilo daging kambing lain di pasar, kemudian dicampurkan dalam masakan. Fokus utama daripada perbuatan itu ialah untuk menjamu kepada jiran tetangga yang bukan beragama Islam.

Rentetan daripada itu, tidak akan timbul isu golongan bukan Islam memakan daging aqiqah tetapi daging asing yang dibeli dari pasar.

Penulis ialah ialah pensyarah Fiqh Kepenggunaan Semasa Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia

1876 dibaca
Berita Harian X