Rabu, 16 November 2016 | 10:20pm

Bunkface nyanyi lagu tema baharu BoBoiBoy


ANGGOTA Kumpulan Bunkface, (dari kiri) Youk, Sam dan Paan. - Foto Nazran Jamel

KUALA LUMPUR: Kumpulan rock terkenal, Bunkface, sekali lagi dipilih untuk menyanyikan lagu tema animasi terbitan Animonsta Studios, BoBoiBoy.

Bermula dengan Masih Di Sini, yang menjadi runut bunyi filem BoBoiBoy, mereka kini memperkenalkan pula single Dunia Baru sebagai lagu tema musim baharu siri berkenaan, BoBoiBoy Galaxy.

Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta, Mohd Nizam Abdul Razak, menyifatkan kumpulan terbabit mempunyai tenaga tersendiri dalam menyampaikan sesebuah lagu, sekali gus menyemarakkan kehadiran musim terkini animasi berkenaan.

"Tempo Dunia Baru sendiri bagai memberi semangat kepada kelangsungan drama ini. Memang tiada sebab untuk kita tidak bekerjasama dengan Bunkface kali ini," katanya.

Tahun lalu, kumpulan yang diterajui Sam, Paan dan Youk, muncul bersama single Darah Muda.

Tahun ini, mereka menerbitkan Masih Di Sini ketika filem BoBoiBoy ditayangkan sekitar Mac lalu.

"Kami selesa dengan kerjasama yang dijalinkan ini. Ia juga antara cara terbaik buat kami meneruskan kelangsungan Bunkface selepas semua anggotanya berkahwin. Penghasilan lagu terbabit juga menjadi bukti kami masih ada di arena seni," kata Youk yang mewakili anggota lain.

Siri animasi pertama BoBoiBoy dengan 52 episod disiarkan dalam tempoh lima tahun, bermula 2011. Siri berkenaan juga dijual kepada 47 negara luar.

Atas sambutan hebat diterima, ia turut dipersembahkan dalam versi filem sehingga mencatat jumlah kutipan RM18.3 juta hasil tayangan di Malaysia dan Indonesia.

Musim terbaharu animasi BoBoiBoy Galaxy akan mula disiarkan menerusi TV3 pada 25 November ini.

Ia menemui penonton setiap Jumaat, jam 5 petang. Siaran ulangannya pula pada setiap Sabtu, jam 10 pagi, menerusi portal Tonton.

Berita Harian X