Rabu, 3 Disember 2014 | 7:56pm

Saham KL ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Saham di Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini berikutan penjualan berterusan oleh dana asing, kata para peniaga.

Seorang peniaga berkata beberapa jualan adalah disebabkan penurunan gred penarafan oleh firma penyelidikan tertentu yang memberikan saranan 'underperform' kepada kaunter terpilih.

Pada jam 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada pada 1,758.15, turun 27.82 mata, selepas naik sebanyak 2.18 mata pada sesi pembukaan kepada 1,788.15.

Indeks petunjuk pasaran itu bergerak antara paras 1,758.15 dan 1,789.04 sepanjang hari dagangan.

Penjualan tertumpu dalam sektor perbankan dan saham berkaitan minyak dan gas terpilih.

AMMB Holdings turun empat sen kepada RM6.42 dan Hong Leong Bank susut empat sen kepada RM13.98. Petronas Gas dan Petronas Chemical jatuh 20 sen setiap satu masing-masing kepada RM20.90 dan RM5.30.

"Saya yakin pasaran akan mencatat pemulihan tidak lama lagi sebaik saja jualan asing mereda," kata seorang penganalisis.

Indeks FBM Emas turun 168.68 mata kepada 12,087.35, Indeks FBMT100 jatuh 161.92 mata kepada 11,807.82, FBM 70 berkurangan 83.25 mata kepada 13,122.02, FBM Ace susut 121 mata kepada 5,975.93 dan Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 133.87 mata kepada 12,516.8.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan turun 305.46 mata kepada 15,648.63, Indeks Perusahaan susut 34.5 mata kepada 3,203.66 dan Indeks Perladangan berkurangan 83.46 mata kepada 8,081.04.

Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 678 berbanding 197, manakala 250 kaunter tidak berubah, 576 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 1.56 bilion unit bernilai RM1.97 bilion daripada 2.16 bilion unit bernilai RM2.18 bilion pada Selasa.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun 26 sen kepada RM8.95, TNB menguncup 22 sen kepada RM13.78 dan Public Bank susut 12 sen kepada RM18.20.

Dalam kalangan kaunter cergas, Perisai Petroleum Teknologi turun enam sen kepada 50.5 sen, Minetech Resources tidak berubah pada 11 sen, IFCA MSC susut empat sen kepada 74 sen, Sumatec Resources jatuh setengah sen kepada 23 sen dan KNM susut 1.5 sen kepada 45.5 sen.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 1.09 bilion unit bernilai RM1.85 bilion kepada 1.49 bilion unit bernilai RM2.01 bilion pada Selasa. Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 380.61 juta saham bernilai RM106.89 juta daripada 558.49 juta saham bernilai RM148.83 juta semalam.

Waran turun kepada 87.25 juta unit bernilai RM14.14 juta daripada 108.5 juta unit bernilai RM14.86 juta sebelumnya.

Barangan pengguna menyumbang 47.75 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (165.71 juta), pembinaan (43.61 juta), perdagangan dan perkhidmatan (560.36 juta), teknologi (52.76 juta), prasarana (16.9 juta), SPAC (31.11 juta), kewangan (54.15 juta), hotel (368,300), hartanah (98.62 juta), perladangan (12.94 juta), perlombongan (249,800), REITs (4.27 juta) dan dana tertutup (15,900). - BERNAMA

Berita Harian X