Rabu, 16 November 2016 | 1:44pm

MAIK gerakkan 1,180 imam cari lapan asnaf

pqc


Nik Mohd Azlan (lima dari kiri) menerima replika cek dari Omar Mat Som (empat dari kiri) sumvangan zakat dari Coopbank Persatuan hari ini.

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menggerakkan 1,180 imam dari seluruh masjid di negeri ini bagi mencari golongan asnaf yang layak menerima bantuan.

Timbalan Yang Dipertuanya, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi, berkata bilangan itu membabitkan imam dari 590 masjid negeri ini.

Katanya, kesemua imam itu digerakkan mencari golongan asnaf yang berkelayakan menerima bantuan namun enggan tampil ke hadapan atas pelbagai sebab termasuk perasaan rendah diri.

"Sebelum ini, golongan anak yatim, miskin, serta ibu tunggal datang ke pejabat untuk meminta bantuan zakat.

"Saya percaya, dengan kerjasama imam seluruh negeri sebagai pembantu penyiasat kepada enam pegawai kami, mereka boleh membantu mencari golongan ini yang enggan tampil berjumpa MAIK untuk menerima zakat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Zakat Koperasi Co-opbank Persatuan Malaysia Berhad, di sini, hari ini.

Terdahulu, Nik Mohd Azlan menerima zakat perniagaan daripada Naib Pengerusi Co-Opbank, Omar Mat Som berjumlah RM22,321.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sehingga kini MAIK sudah membelanjakan hampir RM150 juta tahun ini untuk kegunaan golongan lapan asnaf.

"Daripada jumlah itu, perbelanjaan untuk fakir miskin adalah yang tertinggi membabitkan RM96 juta, manakala untuk pelajar miskin yang melanjutkan pengajian ke luar negara sebanyak RM34 juta dan asnaf mualaf RM1.4 juta," katanya.

Berita Harian X