Rabu, 16 November 2016 | 1:06pm

Penjawat awam perlu pegang teguh integriti


KETUA Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa bersalam dengan delegasi Asia Pacific For You (APAC4U) ketika majlis program APAC4U " A Day With KSN " dan turut sama Yang Dipertua PUSPANITA, Puan Sri Rohani Abdullah di Tabika Kemas Puspanita dan Taska Permata Puspanita Jabatan Perdana Menteri. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Penjawat awam mahupun kakitangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu berpegang teguh dengan integriti kerana ia adalah elemen yang sangat penting dalam pekerjaan apabila melaksanakan amanah diberi.

Bagaimanapun, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Ali Hamsa, berkata masih ada segelintir kakitangan awam atau GLC yang cuba mengambil rasuah dan ia secara tidak langsung menjejaskan nama baik kerajaan dan syarikat individu terbabit.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai isu pegawai GLC yang dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan salah guna kuasa dan menerima suapan lebih RM39.9 juta semalam.

"Saya sering memberi nasihat atau menekankan elemen integriti dalam setiap ucapan saya. Namun ada juga yang cuba memburukkan nama baik penjawat awam atau GLC dengan mengamalkan rasuah.

"Bagi kes semalam, ia adalah proses berterusan, satu proses biasa bagi mana-mana individu yang disyaki melakukan kegiatan berkenaan. Pihak SPRM juga sudah mendapatkan keterangan.

"Buat masa ini, saya tiada apa-apa mahu komen, tunggu sahaja keputusannya nanti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Hari Bersama KSN dan peserta sukarelawan 'Asia Pacific For You' (APAC4U), di Tabika Kemas Puspanita serta Taska Permata Puspanita, di sini hari ini.

APAC4U 2016 adalah acara tahun kali kedua yang mengumpulkan sukarelawan dari negara Asia Pasifik di bawah program 1M4U bertujuan memupuk dan menanam sikap sukarelawan di kalangan belia selain dapat berkongsi pengalaman dengan rakan dari negara lain terutama rantau Asia Pasifik.

Kelmarin, seorang lelaki berstatus 'Datuk' berusia 50 tahun bersama adiknya ditahan SPRM di Shah Alam pada jam 5 petang kerana disyaki memberi projek kepada syarikat yang mereka mempunyai kepentingan ketika memegang jawatan ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat GLC, sebelum meletakkan jawatan tahun lalu.

Berita Harian X