Selasa, 15 November 2016 | 10:38am
Rasuah: Pengarah anak syarikat GLC antara tiga direman

Rasuah: Pengarah anak syarikat GLC antara tiga direman

PUTRAJAYA: Pengarah sebuah anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berstatus Datuk dan dua lelaki direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna kuasa dan suapan lebih RM39.9 juta.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Suspek berstatus Datuk berusia 50 tahun itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Shah Alam kira-kira jam 5 petang semalam kerana disyaki memberikan projek kepada syarikat yang berkepentingan ketika memegang jawatan ketua pegawai eksekutif (CEO) di sebuah syarikat GLC sebelum meletakkan jawatan itu pada tahun lalu.


PENGARAH sebuah anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berstatus Datuk dan dua lelaki direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna kuasa dan suapan lebih RM39.9 juta. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Dia dikatakan menganugerahkan projek bernilai hampir RM50 juta kepada syarikat berkepentingan dan mengambil wang suapan sebagai balasan, ketika memegang jawatan itu selama lima tahun bermula tahun 2010.

Dua lagi lelaki berusia 35 dan 61 tahun iaitu bekas Pengarah Urusan dan Pengarah GLC sama ditahan di Ibu Pejabat SPRM di sini kira-kira jam 8 malam semalam selepas selesai memberi keterangan.

Ketiga-tiga mereka dibawa ke Mahkamah Majistret di sini jam 9.05 pagi memakai baju lokap SPRM berwarna jingga dengan tangan bergari.

66 dibaca
Berita Harian X