Selasa, 15 November 2016 | 8:08am
Operasi memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan di Beruas. - Foto ihsan Bomba

3 daerah di Perak dilanda banjir


Operasi memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan di Beruas. - Foto ihsan Bomba

IPOH: Bilangan mangsa banjir yang terjejas akibat fenomena air pasang besar di tiga daerah di Perak adalah seramai 287 orang daripada 100 keluarga sehingga jam 8 pagi tadi.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, setakat ini empat pusat pemindahan dibuka sejak malam tadi iaitu tiga di LMS dan satu di Manjung, manakala daerah Kuala Kangsar tidak membabitkan pembukaan pusat pemindahan.

Beliau berkata, daerah Manjung paling ramai penduduk terjejas dan seramai 141 penduduk daripada 50 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara Dewan Inderawati, Beruas, sejak malam tadi.

Katanya, antara kawasan terjejas membabitkan Kampung Kilang, Kampung Pulau Meranti, Kampung Paya Ara dan Kampung Tualang.

"Bagi LMS pula, 113 penduduk daripada 40 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan di daerah berkenaan.

"Seramai 78 mangsa daripada 30 keluarga ditempatkan di Dewan Orang Ramai Simpang Halt, Kamunting dan 22 orang daripada tujuh keluarga di Dewan Orang Ramai Kampung Jelapang Jaya.

"Pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Boyan pula hanya menempatkan 13 penduduk daripada tiga keluarga," katanya melalui satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Jurucakap itu berkata, di daerah Kuala Kangsar, seramai 33 mangsa dari 10 keluarga di Mukim Manong, Kampung Lempor Hilir terjejas namun tiada pusat pemindahan dibuka.

Katanya, daerah Kerian pula beberapa kawasn yang dinaiki air kembali surut pagi tadi.

13 dibaca
Berita Harian X