Isnin, 14 November 2016 | 11:36pm
DUA pemain baharu disenaraikan Van Huizen dalam senarai 18 pemain terakhir skuad hoki senior negara bagi menghadapi Festival Hoki Antarabangsa Melbourne bermula 23 November ini. - Foto hiasan

2 muka baharu sertai skuad Van Huizen ke Australia

KUALA LUMPUR: Seperti diramal, dua pemain baharu disenaraikan ketua jurulatih Stephen Van Huizen dalam senarai 18 pemain terakhir skuad hoki senior negara bagi menghadapi Festival Hoki Antarabangsa Melbourne bermula 23 November ini.

Mereka yang dimaksudkan itu adalah pemain tengah, Amirol Aideed Md Arshad dan Syed Syafiq Syed Cholan (pertahanan).

Syafiq bakal membuat penampilan antarabangsa pertama. Kehadiran mereka bagi mengisi kekosongan ditinggalkan arkitek pasukan, Fitri Saari dan Faiz Helmi Jali yang tidak dapat ke Australia gara-gara terikat dengan komitmen sebagai pelajar di Universiti Malaya.

Pengumuman itu dibuat Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dalam satu kenyataannya sebentar tadi.

Ketua jurulatih skuad negara, Stephen Van Huizen, berkata usaha membawa masuk beberapa pemain muda bagi memberi pendedahan kepada mereka untuk memastikan mampu menyediakan skuad terbaik untuk ke Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia (WHL) di Trinidad & Tobago pada Mac depan.

"Kejohanan empat negara di Melbourne ini akan menyaksikan beberapa pemain membuat penampilan pertama dan mengutip pengalaman besar untuk ke Trinidad & Tobago," kata Van Huizen.

Selain Fitri dan Faiz, skuad Malaysian Tigers juga terpaksa melupakan khidmat tiga lagi pemain utama iaitu Rashid Baharom akibat cedera manakala Razie Rahim dan Nabil Fiqri Mohd Noor tidak mendapat pelepasan PDRM kerana mengikuti kursus asas Inspektor.

Namun, Van Huizen berasa lega kerana  pertahanan, Baljit Singh dan Izad Hakimi Jamaluddin serta Ramadan Rosli (penyerang) yang tidak beraksi pada kempen Trofi Juara-Juara Asia 2016 kembali memperkuatkan pasukan kali ini.

Di Melbourne, skuad bimbingan Van Huizen akan membuka kempen menentang New Zealand pada 23 November, diikuti India (24 November) sebelum mengakhiri aksi berdepan tuan rumah Australia (26 November).

Senarai pemain:

Penjaga gol - S Kumar, Hafizuddin Othman

Pertahanan - Baljit Singh Charun Singh, Sukri Abdul Mutalib, Muhammad Firdaus Omar, Izad Hakimi Jamaluddin, Najmi Farizal Jazlan.

Tengah - Joel Samuel van Huizen, Amirol Aideed, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan, Meor Muhamad Azuan Hasan, Asri Hassan.

Penyerang - Firhan Ashari, Shahril Saabah, Haziq Samsul, Nik Aiman Rozemi, Faizal Saari and Ramadan Rosli.

Berita Harian X