Isnin, 14 November 2016 | 9:26pm

Permaisuri Johor lancar video pendek berkaitan kanser


RAJA Zarith Sofiah (tiga dari kanan) diiringi Ayub Rahmat (kiri) berkenan melancarkan tayangan perdana video pesanan khidmat masyarakat 'Kanser: Sebuah Pesanan Khidmat Masyarakat' di Pinewood Iskandar Malaysia, Iskandar Puteri. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

ISKANDAR PUTERI: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan melancarkan tayangan perdana video pesanan khidmat masyarakat 'Kanser: Sebuah Pesanan Khidmat Masyarakat' dalam usaha meningkatkan kesedaran orang ramai berkaitan kanser.

Video filem pendek itu yang memuatkan tiga cerita bertajuk Harapan, Pengorbanan dan Kebahagiaan Abadi memaparkan kisah perjuangan tiga wanita bersemangat tinggi berdepan kanser dalam kehidupan masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor, Datuk Mohamed Ghazali Yusoff, berkata video berkenaan yang disiapkan pada September lalu dihasilkan dengan kerjasama Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor dengan mendapatkan sokongan kerajaan negeri, Kementerian Kesihatan dan juga Studio Pinewood Iskandar Malaysia.

"Pihak kami berpendapat penghasilan video berkenaan antara lain bertujuan memupuk kesedaran kepada masyarakat mengenai pencegahan melalui pendidikan. Video ini juga mampu mempromosikan kesedaran kesihatan kepada semua rakyat.

"Penyebaran ilmu menerusi idea kreatif seiring dengan kemajuan teknologi juga penting untuk kita menyampaikan sesuatu mesej kepada masyarakat di luar sana," katanya berucap pada majlis pelancaran Tayangan Perdana itu di Studio Pinewood Iskandar Malaysia, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Datuk Ayub Rahmat, berkata pendekatan teknologi kreatif amat penting untuk mempromosikan pendidikan dan kesihatan selain mampu memberi manfaat kepada masyarakat.

"Filem dan video adalah antara bahan media yang penting pada masa kini dan ia juga mampu mempengaruhi pemikiran seseorang serta membantu dalam perubahan sosial dalam kalangan masyarakat.

"Kemunculan kepelbagaian teknologi ini juga boleh digunakan untuk tujuan penyebaran mesej dan maklumat bermanfaat membabitkan amalan gaya hidup sihat," katanya.

Berita Harian X