Isnin, 14 November 2016 | 7:57pm

Pengarah GLC ditahan untuk siasatan rasuah RM50 juta

KUALA LUMPUR: Pengarah sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung penyalahgunaan kuasa dan menerima wang suapan.

Sumber berkata, suspek berusia 50 tahun itu ditahan di pejabatnya kira-kira jam 5 petang tadi, sebelum dibawa ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk membantu siasatan.

"Suspek disyaki memberikan projek kepada syarikat yang berkepentingan ketika memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah anak syarikat GLC sebelum meletakkan jawatan tersebut pada tahun lalu.

"Dia disyaki menganugerahkan projek bernilai hampir RM50juta kepada syarikat kepentingan sepanjang memegang jawatan itu selama lima tahun bermula 2010 dan mengambil suapan sebagai balasan," katanya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.

Berita Harian X