Sabtu, 23 Ogos 2014 | 8:45am

Mayat bayi ditemui dalam tali air

LANGKAWI: Mayat bayi lelaki dipercayai baru lahir dan masih bertali pusat ditemui dalam tali air di Kampung Titi Cangwang, Mukim Ulu Melaka, di sini, petang semalam.

Mayat bayi itu ditemui tersangkut pada ranting pokok dengan sebahagian badannya tenggelam dalam air, pada jam 6.30 petang oleh orang awam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Harrith Kam Abdullah, berkata ketika ditemui tiada sebarang kesan cedera dikesan pada fizikal bayi yang cukup sifat itu.

"Mayat itu kemudian dihantar ke Hospital Langkawi, sebelum diuruskan penghantaran ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara sembunyi dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.

Berita Harian X