Isnin, 14 November 2016 | 8:01am
SAGA baharu satu produk yang didatangkan dengan pakej yang lebih berbaloi berbanding sebelum ini.
SAGA baharu mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 12.2 saat (0.8 saat lebih pantas berbanding sebelum ini) untuk varian manual dan 13.1 saat (1.4 saat lebih pantas) untuk varian CVT.

Saga baharu kekalkan identiti kereta nasional

KERETA mampu milik ini tampil dengan reka bentuk dan teknologi lebih moden. - Foto Aaron Lee

SEDAN mampu milik yang sarat dengan pelbagai penambahbaikan, termasuk dari segi reka bentuk dan teknologi.

KALI pertama dilancarkan pada tahun 1985, Proton Saga sememangnya menambat hati rakyat Malaysia dengan cirinya yang menepati kehendak pengguna bagi sesebuah model kereta nasional dengan harga yang sangat berpatutan.

Oleh kerana ia direka dan dibina dengan mengambil kira keperluan masyarakat, Saga adalah sebuah kenderaan yang memenuhi cita rasa kebanyakan rakyat Malaysia.

Lebih 30 tahun selepas pelancaran pertamanya, Saga kini tampil dengan generasi ketiganya yang masih berpegang teguh pada DNA-nya sebagai kereta sedan paling mampu dimiliki rakyat negara ini, tetapi sarat dengan pelbagai penambahbaikan, termasuk dari segi reka bentuk dan teknologi.

Didatangkan dalam tiga varian - Standard (MT & CVT), Executive CVT dan Premium CVT -Saga baharu ditawarkan pada harga bermula daripada RM36,800 hingga RM45,800 di Semenanjung Malaysia.

Antara penambahbaikan Saga baharu ialah reka bentuk luarannya lebih bulat yang menyerlahkan imej lebih moden dan kontemporari berbanding reka bentuk ringkas serta dan bersegi sebelumnya, namun masih mengekalkan identiti Saga.

Sebagai sebahagian daripada barisan produk transformasi pengeluar kereta nasional, PROTON Holdings Bhd, selepas Perdana dan Persona yang juga dilancarkan baru-baru ini, model terbaharu Saga ini juga lebih menarik berbanding model sebelumnya iaitu Saga FLX dan SV, sekalipun ia masih menggunakan platform model sebelumnya.

Paling penting, dalam membangunkan "kereta rakyat" ini, PROTON berpegang pada prinsip kereta mampu milik tidak semestinya rasa dan nampak murah.

MODEL ini turut direka dengan ruang bagasi lebih besar daripada 413L sebelum ini kepada 420L.

SAGA baharu sandaran PROTON untuk mengangkat semula jenama kereta nasional.

Tampil lebih segar

Bermula daripada luaran, Saga baharu tampil lebih segar dengan muka hadapan 'Proton Wing' dan bahagian belakang yang direka semula. Dari sisi, garis badan yang lebih menonjol memberikannya imej yang lebih gagah, manakala garis bumbung yang rendah memberikannya imej yang lebih anggun.

Model ini turut direka dengan ruang bagasi lebih besar daripada 413L sebelum ini kepada 420L yang mampu memuatkan dua bagasi bersaiz sederhana dan dua bagasi bersaiz kecil.

Ia dilengkapi dua lampu kombi belakang dan lampu kabus belakang, manakala varian Executive dan Premium dilengkapi ciri lebih bergaya seperti spoiler dan rim aloi. Rekaan rim juga lebih sporty.

Saiz dan keluasan kereta juga bertambah yang mana ia 74 mm lebih panjang (4,331 mm) dan 9 mm lebih lebar (1,689 mm) berbanding model sebelumnya, sekali gus menjadikan ruang kabin lebih selesa dengan tempat duduk belakang lebih luas.

Tiada perubahan ketara di ruangan kabin, namun menurut PROTON, bahan serta kaedah pembuatan yang digunakan adalah lebih berkualiti tinggi.

Sebagai contoh, lapan lapisan filem digunakan untuk menghasilkan efek jahitan pada keseluruhan papan pemuka. Roda stereng juga terasa lebih lembut dan lebih selesa untuk dipegang. Konsol tengahnya yang direka semula turut menyumbang dalam aspek ergonomik.

Peluang memandu uji Saga baharu dari Shah Alam ke Ipoh dalam sesi pandu uji media baru-baru ini membolehkan penulis merasai sendiri keunikan model kereta nasional pertama yang telah melalui pelbagai penambahbaikan itu.

Secara peribadi saya rasakan tahap pengurangan bunyi bising, getaran dan kekasaran (NVH) adalah lebih baik berbanding model abangnya, Persona. Apatah lagi jika dibandingkan dengan Saga generasi kedua.

SEDAN mampu milik serlah imej moden, didatangkan dengan pakej lebih berbaloi.

Gaya tersendiri

Menurut PROTON, ia terhasil menerusi perubahan pada 3-poin mounting enjin, yang menawarkan suasana kabin lebih senyap. Biarpun memandu pada kelajuan sekitar 180 km/j di lebuh raya, kadar kesenyapan masih rendah. Begitu juga dengan bunyi angin, tidaklah terlalu kuat.

Bagi saya, ia turut menawarkan pengendalian terbaik dalam kelasnya dan boleh dikatakan menyamai model kereta lain dalam kelas lebih tinggi.

Saga baharu menampilkan strut tower brace dan beberapa penambahbaikan yang dilakukan pada suspensi hadapan yang mana hasilnya, pengendaliannya lebih stabil dan responsif kepada input dari stereng.

Enjin 1.3 VVT baharu juga menjadikan Saga baharu tidak lagi menjerit tidak tentu hala apabila kuasanya diperah, sekalipun perbezaan kuasa dengan unit Campro IAFM+ yang digunakan pada model sebelum ini tidaklah terlalu ketara.

Menurut PROTON, Saga baharu mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 12.2 saat (0.8 saat lebih pantas berbanding sebelum ini) untuk varian manual dan 13.1 saat (1.4 saat lebih pantas) untuk varian CVT.

Teknologi VVT yang digunakan turut menyumbang kepada penjimatan bahan api, yang dikatakan meningkat dari 12 hingga 14 peratus. Jika dipandu pada kelajuan purata 90 km/j, ia dikatakan mampu mencatat penggunaan sebanyak 5.4 liter bagi setiap 100 km untuk varian manual dan 5.6 liter setiap 100 km untuk varian CVT.

Dalam memenuhi keperluan gaya hidup masa kini, Saga baharu turut dilengkapi dua pengecaj USB di belakang, radio/CD/ MP3, Bluetooth, 10 ruang simpanan, dua pemegang cawan, empat pemegang botol, pelaras ketinggian tempat duduk pemandu, pelaras stereng dan tempat duduk belakang boleh lipat untuk semua varian.

Sejajar penekanan PROTON terhadap aspek keselamatan, Saga baharu turut dipertingkatkan ciri keselamatannya yang melayakkan semua varian mendapat penarafan keselamatan 4-bintang ASEAN NCAP berbanding 3-bintang sebelumnya.

Semua varian dilengkapi dua beg udara di hadapan, ISOFIX dan tambatan atas serta sensor keliling.

Secara keseluruhan, Saga baharu bukan sahaja lebih kacak dan mengujakan untuk dipandu, malah ia juga satu produk yang didatangkan dengan pakej yang lebih berbaloi berbanding sebelum ini.

TEKNOLOGI VVT yang digunakan turut menyumbang kepada penjimatan bahan api.

Spesifikasi Proton Saga 2016

  • Enjin: 1,332 cc, 4-silinder DOHC 16V VVT
  • Tenaga maksima: 94 hp @ 5,750 rpm
  • Tork maksima: 120 Nm @ 4,000 rpm
  • Transmisi: CVT
  • Berat kerb: 1,075 kg
  • Varian: 1.3L Standard MT, 1.3L Standard CVT, 1.3L Executive CVT dan 1.3L Premium CVT
  • Enam pilihan warna - hitam, merah, putih, kelabu (baharu), biru (baharu) dan perak
  • Harga: RM36,800 hingga RM46,800.
Berita Harian X