Isnin, 14 November 2016 | 12:35am

70 warga asing termasuk kanak-kanak ditahan


ANTARA warga asing ditahan polis dalam operasi yang dilakukan di sebuah tapak pembinaan di Kota Kinabalu. - Foto ihsan IPD Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Seramai 70 warga asing termasuk 10 kanak-kanak ditahan kerana dipercayai tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dalam operasi bersepadu di sekitar bandar raya ini, pada Ahad.

Operasi yang bermula dari jam 1 hingga 11.30 pagi itu membabitkan kawasan setinggan dan rumah kongsi di sekitar Luyang, Inanam, Manggatal serta bandar raya ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner, M Chandra, berkata seramai 146 individu diperiksa dalam operasi itu, membabitkan warga Filipina serta Indonesia.

"Daripada jumlah yang diperiksa itu, seramai 70 ditahan untuk siasatan lanjut iaitu 68 warga Filipina dan dua lagi warga Indonesia.

"Selain itu, polis turut menahan dua lelaki dalam operasi sama yang dipercayai penagih dadah berikutan ujian air kencing yang dijalankan terhadap mereka didapati positif dadah," katanya dalam kenyataan, di sini.

Chandra berkata, selain polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, turut menyertai operasi itu ialah penguatkuasa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) serta Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

"Sebanyak 50 buah rumah telah ditanda dan empat lagi telah dirobohkan pihak DBKK kerana dibina secara haram manakala SESB turut memutuskan beberapa punca bekalan elektrik yang disambung secara haram," katanya.

Berita Harian X