Ahad, 13 November 2016 | 10:27pm

Warga Klang daftar awal di pusat pemindahan


ANGGOTA bomba memeriksa jaket keselamatan yang akan digunakan jika berlaku fenomena air pasang besar di Kampung Tok Muda, Kapar. - Foto Muhammad Sulaiman

KAPAR: Seramai 297 penduduk daripada 45 keluarga sekitar Kampung Batu 5 1/2, Jalan Kapar dan Kampung Tok Muda, dekat sini sudah mendaftarkan diri di dua pusat pemindahan hingga jam 6 petang tadi.

Penolong Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Klang, Borhanudin Padlul, bagaimanapun berkata, pihaknya menjangkakan peningkatan jumlah penduduk yang akan berlindung di pusat pemindahan itu.

Katanya, pendaftaran perpindahan penduduk itu akan berjalan hingga berakhirnya fenomena air pasang besar pada 18 November ini.

"Dua dewan yang dijadikan tempat perpindahan ialah Dewan Serbaguna Palembang, Jalan Kapar dan Dewan Serbaguna Kampung Tok Muda.

"Semua agensi yang terbabit sudah bersedia dan akan memastikan kebajikan mangsa terjamin," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Sementara itu, mangsa yang berpindah Nor Nairul Nizam Aynor, 45, berkata mereka sekeluarga mengambil keputusan untuk berpindah kerana risau ban yang ditambak pecah semula.

Katanya, untuk memastikan keluarganya selamat, dia akan menempatkan isteri dan enam anaknya di pusat pemindahan banjir yang ditetapkan.

"Waktu air pasang bulan lalu, barangan elektrik hanya diletakkan di atas katil tetapi tidak sangka air naik melebihi paras itu.

"Kali ini, barangan elektrik dan berharga diletakkan di paras lebih tinggi. Saya juga sudah memasang silikon di pintu rumah bagi menghalang kemasukan air," katanya.

Berita Harian X