Ahad, 13 November 2016 | 12:46am

Cadangan gantung sekolah pelajar buli dapat reaksi positif


MAHDZIR melancarkan buku berkaitan koperasi sambil diperhatikan oleh Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah (lima dari kanan) pada majlis Perasmian Penyampaian Anugerah Hari Koperasi Sekolah dan Konvensyen Pembudayaan Keusahawanan Koperasi Sekolah Terbaik Peringkat Kebangsaan di Alor Setar. - Foto Amran Hamid

ALOR SETAR: Cadangan Kementerian Pendidikan untuk menggantung persekolahan bagi pelajar terbabit kes buli yang dikategorikan serius, mendapat maklum balas positif daripada ibu bapa dan guru.

Menteri, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata maklum balas positif itu dizahirkan melalui perjumpaan dengan Persatuan Ibu-Bapa dan Guru (PIBG) serta kesatuan guru di negara ini.

Bagaimanapun, beliau berkata terdapat beberapa perkara harus diperhalusi dan masih di peringkat kajian termasuklah berhubung tempoh pelaksanaan penggantungan itu yang sebelum ini dicadangkan selama setahun.

"Kita minta pihak pengurusan tertinggi melihat perkara berkaitan disiplin pelajar ini terutama bagaimana kaedah terbaik untuk penggantungan pelajar yang terbabit kes buli ini.

"Kita sememangnya sebulat suara setuju boleh gantung pelajar pada tahun yang sama dengan kes (buli) berlaku, ..kalau pelajar itu nak ambil peperiksaan, mereka ambil tahun berikutnya.

"Setakat ini sebahagian besar pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dan guru nampaknya sokong cadangan kita ini," katanya selepas merasmikan Konvensyen Pembudayaan Keusahawanan Koperasi Sekolah dan Anugerah Koperasi Sekolah Terbaik peringkat Kebangsaan 2016, di sini malam ini.

Sebelum ini, Mahdzir mengumumkan cadangan supaya pelajar terbabit dalam kegiatan buli yang dikategorikan sebagai serius, dikenakan hukuman gantung persekolahan selama setahun.

Berdasarkan cadangan itu, beliau berkata, kaki buli dalam kalangan pelajar yang digantung itu diwajibkan membabitkan diri dengan kerja kebajikan atau dimasukkan ke pusat pemulihan akhlak dalam tempoh penggantungan sebagai syarat untuk diterima masuk semula ke sekolah.

Pada masa sama, Mahdzir berkata kementerian mempunyai satu jawatankuasa di peringkat tertinggi termasuk membabitkan penasihat undang-undang dalam melihat kes buli dalam kalangan pelajar.

Jawatankuasa itu diwujudkan khusus untuk menangani gejala disiplin terutama membabitkan kes buli dalam kalangan pelajar.

Berita Harian X