Rabu, 3 Disember 2014 | 5:04am

Perlembagaan selaras hal ehwal Islam semua negeri

Keluhuran Perlembagaan secara harfiahnya bermaksud kemuliaan, ketinggian dan keagungan Perlembagaan. Bagi setiap negara yang mempunyai Perlembagaan bertulis, Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara.

Bagi pelajar undang-undang, keluhuran Perlembagaan bermaksud apa juga undang-undang yang tidak selaras dengan Perlembagaan adalah tidak sah. Dalam pentadbiran negara prinsip keluhuran Perlembagaan ini menghendaki setiap aspek pentadbiran hendaklah sentiasa selaras dengan Perlembagaan. Dalam bahasa mudah Perlembagaan sentiasa menjadi kayu ukur kepada semua tindakan, sama ada perundangan atau juga pentadbiran.

Dalam konteks sebuah negara Persekutuan seperti Malaysia, prinsip keluhuran Perlembagaan terpakai sebagai suatu bentuk perjanjian. Dalam Perlembagaan itu termaktubnya persetujuan antara kedua peringkat negeri. Antara lain ia menyatakan pembahagian kuasa antara Persekutuan dan negeri.

Dalam proses mencapai kemerdekaan, dinyatakan dalam Laporan Suruhanjaya Perlembagaan bahawa Suruhanjaya tersebut bertanggungjawab untuk mendraf Perlembagaan bagi Persekutuan Tanah Melayu dengan menubuhkan sebuah negara Persekutuan yang mempunyai kuasa yang kuat dan negeri menikmati suatu ukuran kuasa autonomi (The establishment of a strong central government with the States and Settlements enjoying a measure of autonomy).

Perincian kuasa autonomi negeri

Dalam konteks kedudukan Islam Perkara 3 menjadi peruntukan dasar tentang Islam sebagai urusan autonomi negeri dan seterusnya meletakkan Islam dalam urusan negeri-negeri. Raja-Raja diisytihar sebagai ketua agama bagi negeri-negeri, manakala Yang di-Pertuan Agong pula dijadikan Ketua Agama bagi negeri baginda sendiri dan bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai raja.

Inilah antara inti pati perjanjian antara Persekutuan dan negeri dalam hal berkaitan agama Islam. Perincian berkaitan kuasa autonomi negeri-negeri berkaitan ini telah disebut, terutamanya dalam Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun hal ehwal agama Islam dijadikan urusan negeri ini tidak bermakna urusan Islam tidak boleh diselaraskan bagi semua negeri. Perlembagaan juga menyediakan mekanisme untuk hal berkaitan Islam itu diselaraskan bagi negeri-negeri. Maksudnya, Perlembagaan juga memungkinkan hal-ehwal Islam diseragamkan di seluruh negara.

Mekanisme ini dinyatakan antara lain dalam bidang kuasa budi bicara Raja-Raja Melayu menerusi Perkara 38 Perlembagaan.

Perkara 38 ini, antara lain, selain daripada menggabungkan kesemua Raja yang memerintah, termasuk Yang di-Pertua Negeri, meletakkan peranan yang boleh dimainkan oleh Raja-Raja Melayu berkaitan kedudukan Islam. Fasal 38(6)(d) menyatakan perkara ini. "Anggota Majlis Raja-Raja boleh bertindak menurut budi bicara mereka...berhubungan dengan fungsi yang berikut,:.... (d) mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama diperluas ke Persekutuan secara menyeluruh."

Selain itu Fasal 76(1)(b) dan (c) juga memberi ruang kepada penyelarasan kepada undang-undang Islam di negeri-negeri dengan beberapa syarat yang dikenakan oleh Perlembagaan sendiri, seperti dalam Fasal 76(3).

Akur dengan pembahagian kuasa

Mekanisme Perlembagaan yang disebut dalam peruntukan-peruntukan di atas boleh dijadikan sumber kuasa bagi menambahbaik kedudukan agama Islam dan sistem perundangannya, termasuklah membentuk Mahkamah Syariah pada peringkat Persekutuan.

Itulah yang kita ada dalam Perlembagaan setelah kita mencapai kemerdekaan. Kita bersetuju dalam perkara berkaitan keluhuran Perlembagaan. Kita akur dengan pembahagian kuasa tersebut. Kita tidak menolak prinsip yang meletakkan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi dan hal ehwal agama Islam, yang berkaitan dengan kekeluargaan dan peribadi umat Islam diletakkan di bawah urusan negeri. Kita juga faham dengan ketetapan Perlembagaan Persekutuan menjadi penanda aras kepada keabsahan sesuatu undang-undang, termasuk undang-undang Syariah.

Umat Islam negara ini sudah begitu akur dengannya walaupun mungkin ada antara umat Islam yang terdetik mahukan lebih banyak daripada itu.

Setelah menelusuri merdeka lebih daripada 50 tahun umat Islam negara ini tidak sedikitpun membelakangi kedudukan atau ketetapan Perlembagaan itu. Malah, begitu patuh dengan keadaan itu.

Justeru, apabila akur dengan ketetapan Perlembagaan tersebut, umat Islam mahukan pelaksanaan Islam, termasuk ajaran dan perundangannya dilaksana menurut apa sahaja yang ditetapkan oleh Perlembagaan.

Segala apa yang dijamin oleh Perlembagaan hendaklah dipatuhi oleh semua pihak atas dasar keluhuran Perlembagaan. Pematuhan ini penting kerana setiap peruntukan Perlembagaan itu akan hanya berfungsi dengan baik andainya dihormati semua pihak. Pematuhan ini juga akan menambahbaik integrasi antara semua warga Malaysia.

Penulis ialah Felo Utama Pusat Syariah, Undang-Undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

24 dibaca
Berita Harian X