Ahad, 13 November 2016 | 12:00am
ALAT Pengayak Tembikar tahun 60-an. - Foto Yazit Razali

Khazanah pendidikan ilmu khas


GALERI Tan Sri Abdul Rafie Mahat, Institut Perguruan Ilmu Khas Cheras. - Foto Yazit Razali

PIALA keagungan kejohanan badminton antara institusi pendidikan berusia 58 tahun sumbangan bersama Menteri Pendidikan kedua, Tan Sri Mohd Khir Johari dan rakan sejawatnya dari Singapura, Chew Swee Kee masih tersimpan kemas di Galeri Tan Sri Abdul Rafie Mahat, Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), Cheras, Kuala Lumpur.

Trofi itu antara koleksi bersejarah dan artifak menarik perhatian pengunjung, selain peralatan antik mencakupi alatan kimpalan tahun 50-an yang di bawa khas dari England.

Pengunjung pasti terpegun melihat dokumen berkaitan kursus yang ditawarkan seperti pendidikan jasmani, seni dan pertukangan tangan, sains, matematik, alat pandang dengar, pendidikan khas, pendidikan muzik, pendidikan sains rumah tangga dan kursus perpustakaan sejak penubuhannya pada 1959 sehingga kini.

Kurator Galeri Tan Sri Abdul Rafie Mahat, Datin Noraini Mohamed berkata, selain itu, terdapat juga khazanah berkaitan dengan karya pendidikan seni visual, gambar sejarah, rekod kad pelajar kursus tambahan, kursus asas, sukatan kursus asas mulai 1966, beberapa majalah Sinar Pendidik dan pelbagai catatan.

"Misi galeri ini sebagai pusat sehenti yang menyediakan keperluan permuziuman, warisan dan budaya pendidikan, manakala visi pula sebagai destinasi pelawat, pencetus inspirasi kepada pendidik untuk mengkaji dan berkongsi informasi penyebaran ilmu pendidikan," katanya.


ALAT `En Larger' tahun 60-an yang masih disimpan di Galeri Tan Sri Abdul Rafie Mahat, Institut Perguruan Ilmu Khas Cheras. - Foto Yazit Razali

Alat uji pendengaran

Objektif galeri itu adalah menghargai warisan sejarah penubuhan institusi berkenaan dan menyebarkan ilmu pengetahuan melalui pameran tetap atau sementara mengikut tema yang dirancangkan secara 'out-reach' dan 'in-reach' program bagi mewujudkan hubungan dua hala dengan pelawat dari luar negara dalam konteks pendidikan.

Kunjungan ke Galeri Tan Sri Abdul Rafie Mahat juga membolehkan pengunjung menyaksikan peralatan digunakan dalam pendidikan khas seperti audiometer diagnostik untuk menjalankan ujian audiometri nada tulen.

Ia adalah alat untuk menguji pendengaran dengan menggunakan berbagai jenis frekuensi yang dimulakan dengan frekuensi terendah 250 Hertz (Hz) hingga tertinggi 8,000Hz.


KURATOR Galeri Tan Sri Abdul Rafie Mahat, Datin Noraini Mohamed menerangkan mengenai alat `En Larger' tahun 60-an kepada pelatih-pelatih di Institut Perguruan Ilmu Khas Cheras. - Foto Yazit Razali

Unit khas masalah penglihatan

Di sebuah bilik kuliah kelihatan sekumpulan siswa guru menggunakan sistem FM (Sistem tanpa wayar) sebagai alat bantu dengar bagi menghantar bunyi daripada guru kepada murid. Guru menggunakan mikrofon dan alat pemancar. Suara guru dihantar kepada alat penerima digunakan murid supaya boleh mendengar dengan lebih jelas.

Otoskop adalah alat berlampu untuk memeriksa saluran luar telinga dan gegendang telinga, manakala alat penjagaan bantu dengar mencakupi stetoklip dan pam angin.

Peralatan digunakan untuk Unit Masalah Penglihatan pula adalah Mesin Braille. Ia adalah mesin untuk menulis tulisan braille iaitu sistem tulisan timbul serta dibentuk melalui sel braille yang mengandungi enam titik.

Setiap titik berkenaan disusun dengan kombinasi tertentu bagi mewakili sesuatu karakter seperti abjad, singkatan, perkataan, nombor atau tanda bacaan.


GALERI Tan Sri Abdul Rafie Mahat, Institut Perguruan Ilmu Khas Cheras. - Foto Yazit Razali

Fungsi batu refleksologi

Turut dipamerkan peralatan Pendidikan Khas (Masalah Pembelajaran) mencakupi pelbagai jenis seperti stokin untuk kemahiran bercerita dan komunikasi bagi subjek bahasa Melayu dan Inggeris, manakala model haiwan untuk mengenali haiwan dan bahagian badan haiwan dalam subjek Sains.

Batu Refleksologi pula untuk meningkatkan kepekaan deria rasa pada bahagian tapak kaki bagi murid celebral palsy, manakala Woodboard Trace adalah alat terapi cara kerja untuk meningkatkan kemahiran motor halus serta Rubberband Board iairu alat pra-tulisan digunakan untuk membina huruf atau nombor dengan menggunakan getah gelang dan alat terapi cara kerja untuk meningkatkan motor halus murid.

Ternyata galeri ini memang menarik untuk dikunjungi kerana sekurang-kurangnya dapat memberikan kefahaman mengenai teknik dan perkakasan yang digunakan bagi membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU) hidup berdikari.


PIALA Badminton Championship Challenger Cup' tahun 1958 antara piala masih disimpan di Galeri Tan Sri Abdul Rafie Mahat Institut Perguruan Ilmu Khas Cheras. - Foto Yazit Razali

INFO Galeri Tan Sri Abdul Rafie Mahat

Lokasi: Institut Pendidikan Perguruan Kampus Ilmu Khas, Cheras, Kuala Lumpur

Fakta:

  • Penubuhan galeri diilhamkan sempena sambutan jubli emas IPGKIK pada 2009
  • Objektif galeri itu adalah menghargai warisan sejarah penubuhan institusi berkenaan dan menyebarkan ilmu pengetahuan melalui pameran tetap atau sementara mengikut tema yang dirancangkan secara 'out-reach' dan 'in-reach' program bagi mewujudkan hubungan dua hala dengan pelawat dari luar negara dalam konteks pendidikan.
  • Nama galeri ini sempena tokoh pendidikan iaitu bekas iaitu bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Allahyarham Tan Sri Abdul Rafie Mahat .
  • Perasmian galeri itu disempurnakan balu Allahyarham Abdul Rafie, iaitu Puan Sri Fathillah Ishak pada 13 Ogos 2009.

Fakta Nombor:

186 - pensyarah IPGKIK

700 - siswa pendidik

Berita Harian X