Sabtu, 12 November 2016 | 9:42pm

Warga emas dipercayai penagih dadah ditemui mati


MAYAT warga emas dipercayai penagih dadah ditemui berhampiran tempat pembuangan sampah di Jelutong, petang tadi. - Foto ihsan Polis

GEORGETOWN: Seorang warga emas, dipercayai penagih dadah ditemui mati berhampiran tempat pembuangan sampah di Jelutong, di sini, petang tadi.

Mayat lelaki berumur 67 tahun itu ditemui orang awam kira-kira jam 5.45 petang, susulan bau busuk di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid, berkata siasatan awal mendapati lokasi penemuan mayat itu adalah sarang penagih dadah dan mangsa juga dipercayai penagih dadah di kawasan itu.

"Siasatan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang unsur-unsur jenayah dan hasil pemeriksaan terhadap mayat mangsa juga mendapati dia sudah meninggal dunia sejak dua hari lalu.

"Mangsa dipercayai berasal dari Tanjong Tokong dan mayatnya kini dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat," katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

11 dibaca
Berita Harian X