Sabtu, 12 November 2016 | 5:59pm

Tampilkan lebih banyak sastera etnik, kekayaan bahasa

DARI kiri; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Sayed Munawar Sayed Mustar; Pengerusi Perbadanan Kota Buku, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud; Sapardi Djoko Damono dan Sasterawan Negara, Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh pada Majlis Pelancaran KLLF 2016 di Jalan Riong, Bangsar, hari ini. - Foto Shiraz Ali

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur Literary Festival (KLLF) 2016 akan mengangkat kepelbagaian warna sastera Malaysia, sekali gus menyerlah kekayaannya untuk dijadikan acara sastera antarabangsa.

Sasterawan Negara (SN), Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh, berkata Malaysia memiliki warna sastera yang pelbagai dan boleh dijadikan landasan untuk dikembangkan kepada acara sastera besar-besaran.

Katanya, Singapura sudah lama menganjurkan acara seumpama meskipun negara ini memiliki lebih banyak warna sastera yang boleh dijadikan pengisian dalam acara sebegini pada masa depan.

"Apatah lagi kita memiliki kekayaan dalam bentuk sastera lisan yang lebih besar, malah kita memiliki hingga 100 bahasa dan dialek.

"Pada masa depan, pelbagai etnik masyarakat termasuk Kadazan dan Iban boleh dibawa supaya kita dapat menjalinkan bahasa tulisan dengan bahasa lisan yang indah bagi membentuk sesuatu yang langsung sampai kepada jiwa kita.

"Acara sebegini juga boleh menjadi pentas untuk menyaksikan bahasa tempatan diberi tempat utama kerana bahasa inilah yang mencipta taman sastera yang ada pada kita," katanya pada Majlis Pelancaran KLLF 2016 di Art Printing Works (APW), Jalan Riong, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku (PKB), Sayed Munawar Sayed Mustar dan Pengerusi PKB, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud.

KLLF 2016 yang julung kali diadakan itu disertai 50 pengarang tanah air dan antarabangsa dari Indonesia, Poland, Macedonia, Filipina dan Jerman.

Acara anjuran PKB itu bertujuan meletakkan ibu kota ini sebagai hab kandungan bagi penulis, penerbit dan pembaca, sekali gus menuju kepada status Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Budaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Berita Harian X