Sabtu, 12 November 2016 | 5:49pm

JPN tahan 2 ejen kad pengenalan palsu RM6,000


KETUA Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Mohd Yazid Ramli. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menahan dua wanita yang disyaki bergiat aktif menjadi ejen kepada sindiket pengeluaran kad pengenalan palsu di sekitar Sandakan, Sabah.

Ketua Pengarah, Mohd Yazid Ramli, berkata wanita berkenaan masing-masing berusia 25 dan 48 tahun dipercayai aktif mencari pelanggan atau warga asing yang berminat mendapatkan kad pengenalan palsu dengan bayaran RM6,000.

Katanya, pemeriksaan di kediaman wanita berkenaan akhirnya membongkar kegiatan mereka berikutan penemuan pelbagai dokumen meragukan termasuk gambar individu, salinan kad pengenalan yang dipalsukan, sijil kelahiran milik individu tidak dikenali dan dua unit komputer riba yang disyaki digunakan untuk memalsukan kad pengenalan.

"Susulan penahanan ini, JPN menahan lima individu membabitkan tiga lelaki dan dua wanita berumur antara 23 hingga 57 tahun yang menggunakan kad pengenalan palsu sebagai pengenalan diri, disyaki diperoleh daripada dua ejen wanita itu.

"Hasil siasatan ke atas semua tujuh individu yang ditahan mendapati mereka mengaku berasal dari Bone, Sulawesi Selatan, Indonesia.

"Kedua-dua wanita yang disyaki sebagai ejen itu disiasat mengikut Peraturan 25 (1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) manakala lima lagi disiasat mengikut peraturan sama kerana menggunakan Kad Pengenalan palsu sebagai pengenalan diri," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Berita Harian X