Jumaat, 11 November 2016 | 11:28pm

Tunggakan cukai tanah di Perak serius, RM79.8j


Pengarah Tanah dan Galian negeri, Datuk Syed Mokhtar Syed Iddris. - Foto Perak Today

IPOH: Sebanyak 213 lot tanah di Perak berdepan tindakan rampas oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) berikutan gagal menjelaskan tunggakan cukai tanah kira-kira RM2 juta.

Pengarah Tanah dan Galian negeri, Datuk Syed Mokhtar Syed Iddris, berkata pihaknya mengeluarkan sebanyak 213 Notis 8A (rampasan tanah) kepada pemilik lot berkenaan sepanjang tahun ini.

Katanya, sebanyak 2,053 Notis 6A membabitkan nilai tuntutan tunggakan cukai tanah bernilai RM12 juta turut dikeluarkan pihaknya.

"Setakat ini PTG hanya menerima bayaran sebanyak RM2 juta bagi kesemua Notis 6A dan cuma bayaran RM1,000 bagi Notis 8A yang dikeluarkan.

"Tindakan tegas melalui perlucutan hak terhadap tanah milik akan terus dipergiatkan terhadap pemilik yang masih ingkar membayar cukai tanah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelantikan Bank Simpanan Nasional (BSN) sebagai ejen kutipan cukai tanah di Bilik Mesyuarat Utama Pejabat Tanah dan Galian Perak, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah PTG Perak, Zul Azlan Abu Hassan dan Ketua Jabatan Peruncitan dan Perniagaan Komuniti BSN, Datuk Mearia Hamzah.

Syed Mokhtar berkata, Perak berdepan dengan isu tunggakan cukai tanah yang serius, yang mana jumlah tunggakan semasa adalah sebanyak RM79.8 juta membabitkan 213,000 hak milik tanah dan masalah itu menjejaskan perancangan dan pengurusan pembangunan kerajaan negeri.

23 dibaca
Berita Harian X