Jumaat, 11 November 2016 | 11:04pm

Peluang baris muka baharu - Mirnawan


Bekas penyerang kebangsaan, Datuk Mirnawan Nawawi. - Foto Hasriyasyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Bekas penyerang kebangsaan, Datuk Mirnawan Nawawi percaya Festival Hoki Antarabangsa Melbourne bermula 23 November ini sebagai pentas terbaik buat pengendali skuad hoki negara Stephen Van Huizen mengetengahkan beberapa 'muka baharu'.

Ia gara-gara skuad Malaysian Tigers terpaksa melupakan khidmat beberapa pemain utama yang tidak mendapat pelepasan atau belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

"Daripada melihat pemain yang sama beraksi, saya gemar untuk melihat pemain yang sebelum ini tidak bersama skuad senior pula diberi peluang.

"Kita perlu melihat dari sudut positif kerana menerusi pendedahan ini ia memberi peluang kepada Van Huizen untuk mempunyai pilihan pemain yang lebih ramai untuk menghadapi kempen padat pada tahun depan," katanya ketika dihubungi semalam.

Setakat ini dua pemain utama yang pasti tidak akan menyertai skuad negara ke Melbourne, Australia pada 19 November ini adalah Razie Abd Rahim dan Nabil Fiqri Mohd Noor yang terikat dengan kursus latihan asas inspektor polis.

Rashid Baharom dan Izad Hakimi Jamaluddin pula masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan manakala Faiz Helmi Jali dan Fitri Saari terikat dengan komitmen pelajaran sekali gus status keempat-empat pemain ini masih samar.

Namun, Mirnawan yakin sudah tiba masanya buat pemain seperti Ahsran Hamsani, Amirol Aideed dan Syed Syafiq Syed Cholan yang memperagakan prestasi meyakinkan sepanjang Kejohanan Piala Sultan Johor berakhir Ahad lalu diberi peluang.

"Mereka ini boleh diketengahkan tetapi apapun terpulang kepada jurulatih kerana dia lebih mengetahui keperluan pasukannya dari segi posisi dan taktikal pasukannya."

Festival Hoki Antarabangsa Melbourne yang menyaksikan pertembungan empat penjuru antara tuan rumah New Zealand, Australia, India dan Malaysia adalah kejohanan terakhir untuk skuad bimbingan Van Huizen pada tahun ini.

Ia sebagai persiapan bagi menghadapi pusingan kedua Liga Dunia di Trinidad & Tobago, Mac tahun depan, yang juga kelayakan Piala Dunia 2018.

Berita Harian X