Jumaat, 11 November 2016 | 6:51pm

Perak bentang enakmen baharu banteras salah guna gelaran


Speaker DUN, S Thangasvari.

IPOH: Enakmen baharu bagi membanteras penyalahgunaan gelaran dan lambang dianugerahkan oleh Sultan Perak akan dibentangkan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, minggu depan.

Enakmen itu dijangka memperuntukkan undang-undang lebih ketat terhadap individu yang menyalahgunakan lambang, gelaran dan anugerah yang dikurniakan sultan.

Speaker DUN, S Thangasvari, berkata cadangan enakmen baharu iaitu Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah Perak 2016 (mencegah penggunaan tidak wajar) akan diusulkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada hari pertama persidangan, iaitu selepas pembentangan bajet negeri pada Selasa ini.

"Perkara itu diusulkan berikutan aduan yang diterima kerajaan negeri berhubung penyalahgunaan gelaran dan lambang yang dikurniakan dan dianugerahkan oleh Sultan Perak.

"Menteri Besar dijangka mengadakan sidang media bagi memperjelaskan tujuan, kandungan dan peruntukan yang akan dikenakan melalui pengenalan enakmen baharu itu sebaik ia selesai dibentang dan diusulkan dalam dewan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Thangasvari berkata, sidang DUN akan berlangsung selama lima hari iaitu Selasa hingga Jumaat dan disambung sehari lagi pada Isnin berikutnya.

Beliau berharap Sidang DUN kali ini berjalan lancar dan akan dapat memanfaatkan rakyat.

"Semua Ahli Yang Berhormat dipilih oleh rakyat dan mereka akan membawa suara rakyat, apa yang diharapkan persidangan kali ini akan menjadi satu persidangan yang memanfaatkan semua pihak," katanya.

Berita Harian X