Jumaat, 11 November 2016 | 5:18pm

Air pasang besar: 11 kawasan di Selangor diramal banjir


ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam (APM) memantau keadaan rumah mangsa banjir ketika paras air semakin meningkat ekoran fenomena air pasang besar di Taman Seri Keramat Batu 5, Kapar, bulan lalu. - Foto Muhammad Sulaiman

SHAH ALAM: Sebanyak 11 lokasi membabitkan lima daerah di Selangor diramal banjir berikutan fenomena air pasang besar luar biasa yang dijangka bermula Isnin ini hingga Jumaat depan.

Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor dalam kenyataan akhbar di sini, hari ini, berkata paras air akibat fenomena itu dijangka mencecah ketinggian 5.6 meter dan keadaan mungkin bertambah buruk jika disusuli hujan dan angin.

Berikutan itu, kerajaan negeri sudah mengarahkan persediaan berdepan bencana tahap tinggi dilaksanakan membabitkan daerah Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

"Daerah Klang dan Sabak Bernam dikategorikan sebagai zon merah, iaitu lokasi berisiko tinggi dilanda banjir. Di Klang, kawasan diramal terjejas ialah Kampung Tok Muda dan Batu 5 Kapar, manakala Kampung Sungai Air Tawar dan Tebuk Mendeling di Sabak Bernam.

"Kategori Zon Kuning, iaitu lokasi berisiko sederhana ialah Kuala Selangor, Sepang dan Kuala Langat. Di Kuala Selangor, kawasan dijangka terjejas ialah Pasir Penambang, Bagan Pasir dan Pantai Remis.

"Kawasan pesisir Pantai Bagan Lalang bagi Sepang serta Pantai Kelanang dan pesisir Pantai Tanjung Sepat di Kuala Langat juga termasuk dalam kawasan yang diramal berlaku banjir," katanya.

Kenyataan itu menyebut semua penduduk, terutama di lokasi berisiko tinggi diminta mematuhi arahan pihak berkuasa serta mengambil langkah persediaan untuk mendaftar dan berpindah ke pusat pemindahan yang disediakan, bermula pada jam 2 petang, Ahad ini.

"Penduduk Kampung Tok Muda akan ditempatkan di pusat pemindahan Dewan Serbaguna Kampung Tok Muda bagi, Batu 5 Kapar (Dewan Serbaguna Kampung Rantau Panjang), Kampung Sungai Air Tawar dan Tebuk Mendeling (Dewan Sungai Air Tawar).

"Bagaimanapun, pusat pemindahan bagi lokasi berisiko sederhana belum disediakan, namun berada dalam status `siap sedia' untuk berdepan sebarang kemungkinan," katanya.

Berita Harian X