Jumaat, 11 November 2016 | 11:51am

Rasuah: Pengurus Besar syarikat GLC antara 3 direman


TIGA lelaki termasuk seorang Pengurus Besar sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dibawa pegawai SPRM di Mahkamah Majistret, Putrajaya untuk direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna kuasa dan menerima suapan. - Foto Fariz Iswadi Ismail

PUTRAJAYA: Tiga lelaki, termasuk seorang Pengurus Besar sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna kuasa dan menerima dan memberi wang suapan.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman mengeluarkan perintah reman ke atas ketiga-tiga lelaki berusia 56 dan 51 tahun itu pagi ini sehingga Selasa di Mahkamah Majistret di sini.

Pengurus Besar berkenaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam di kediamannya di Seremban, Negeri Sembilan kira-kira jam 9.35 pagi kerana disyaki menyalahguna kuasa dan menerima wang suapan.

Dua lagi lelaki iaitu Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan sebuah syarikat pembinaan dan infrastruktur yang juga bergelar Datuk ditahan kira-kira jam 12 malam semalam selepas selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, di sini.

Sebelum itu, ketiga-tiga saspek tiba di Mahkamah Majistret di sini menaiki kenderaan SPRM dan bergari.

73 dibaca
Berita Harian X