Jumaat, 11 November 2016 | 8:41am

3 termasuk dua pelajar maut, nahas 4 kenderaan

ALOR GAJAH: Tiga termasuk dua pelajar sekolah menengah maut selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Padang Sebang di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, Nur Syarifah Azura Ramzi, 16; Muhammad Haziq Norhesyam, 15; dan Herman Md Johan, 23, maut selepas kereta PROTON Saga dinaiki bersama Muhammad Daniel Jamaluddin, 15, dari arah Tampin, Negeri Sembilan ke Alor Gajah bertembung dengan PERODUA Axia dari arah bertentangan.

Difahamkan, Nur Syarifah Azura dan Herman meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah, manakala Muhammad Haziq meninggal dunia di Hospital Tampin.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri, Pemangku Superintendan Mohd Sham Abdullah, berkata seorang lagi penumpang PROTON Saga iaitu Muhammad Daniel masih dirawat di Hospital Tampin.

Katanya, pemandu kereta PERODUA Axia, Tan Chee Song, 29, dan Zainaf Hussin, 35, (PROTON Exora) cedera dan dirawat di Hospital Tampin, manakala pemandu PROTON Wira, Norsuhaila Sulaiman, 26, tidak cedera.

"Siasatan awal mendapati, kereta PROTON Saga dari arah Tampin itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan disebabkan keadaan jalan yang licin akibat hujan lebat dan bertembung dengan kereta PERODUA Axia dipandu Chee Song.

"Akibat pertembungan itu, PROTON Exora dan Wira di belakang kereta PERODUA Axia tidak sempat mengelak lalu terbabit sama dalam kemalangan," katanya ketika dihubungi hari ini. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Padang Sebang, Alor Gajah. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

30 dibaca
Berita Harian X