Khamis, 10 November 2016 | 12:05am

'Kerajaan negeri takut bertindak, punca penternak babi bermaharajalela'

TANJUNG SEPAT: Masyarakat setempat tidak yakin Kerajaan Selangor mempunyai kesungguhan untuk menyelesaikan isu penternakan babi, yang menjadi punca pencemaran sungai dan pantai serta bau busuk menyelubungi kehidupan mereka di sini.

Mereka percaya, perhatian dan janji kerajaan negeri menyelesaikan isu itu hanyalah ungkapan manis bagi meredakan kemarahan orang ramai, khususnya penduduk Melayu, susulan pendedahan media sejak seminggu lalu.

Hakikat itu jelas terbukti, apabila setakat ini kerajaan negeri menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) langsung tidak bertindak mengambil tindakan termasuk meroboh kandang babi tanpa lesen di kawasan terbabit, meskipun sudah memberi Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK).

Daripada 312 ladang ternakan babi dalam daerah Kuala Langat, hanya 31 yang berlesen. Semua ladang terbabit termasuk yang mencetuskan pencemaran terhadap alam sekitar diusahakan oleh 127 pengusaha.

Pengerusi Jawatankuasa dan Keselamatan Kampung Batu Laut, Ahmad Abd Karim, berkata beliau tidak yakin dengan janji yang dibuat Kerajaan Selangor bahawa isu penternakan babi di kawasan terbabit akan diselesaikan.

DERETAN kandang babi di sekitar Kampung Batu Untong. - Foto Muhammad Sulaiman

SEBAHAGIAN daripada deretan kandang babi sekitar Kampung Batu Untong. - Foto Muhammad Sulaiman

Beliau berkata, kali terakhir penduduk dipanggil berbincang dengan kerajaan negeri adalah ketika projek pemodenan penternakan babi diumumkan kira-kira lapan tahun lalu.

"Kerajaan Negeri membangkitkan isu babi di kampung ini selepas pendedahan di media massa sahaja. Namun setakat sehari dua ini, saya tidak melihat pun mana-mana pegawai masuk untuk memeriksa pencemaran yang kami hadapi," katanya.

Ahmad yang juga anak jati kawasan ini, mendakwa ladang ternakan babi meningkat selepas wabak JE melanda sekitar Bukit Pelanduk di Port Dickson, Negeri Sembilan kira-kira dua dekad lalu, menyebabkan penternaknya berpindah ke sini.

Katanya, bermula kandang kecil, penternak menawarkan bayaran lumayan kepada pemilik tanah pegangan bebas berdekatan kawasan asal mereka, yang membolehkan mereka membesarkan ladang ternakan babi masing-masing.

KOTORAN kesan daripada penternakan babi dialirkan ke laut daripada Kampung Batu Untong. - Foto Muhammad Sulaiman

KESAN kumbahan kandang babi menyebabkan pencemaran Sungai Giling di Kampung Batu Untong. - Foto Muhammad Sulaiman

Walaupun tanah berhampiran kandang asal ditawarkan harga mahal oleh penternak yang membelinya, kawasan tanah lain milik penduduk yang terjejas akibat pencemaran serta diselubungi bau busuk mengalami kemerosotan harga hingga 45 peratus.

Tanah sekitar Kampung Batu Laut yang asalnya dinilai sekitar RM180,000 bagi 0.4 hektar, kini merosot kepada RM100,000 kerana pencemaran yang terjadi pada tanah itu.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, ramai penduduk Melayu masih berusaha bertahan di situ dan enggan menjual tanah masing-masing kerana tidak mempunyai harta serta tempat untuk di tuju lain.

Beliau berkata, pencemaran di sini berlaku kerana pihak yang bertanggungjawab mengambil sikap lepas tangan sehingga mengundang masalah kepada penduduk dan ekosistem.

Pengerusi Persatuan Nelayan Sungai Mesuk, Jamaluddin Bulat, pihaknya tidak pernah ditemui mana-mana pihak yang mahu menyelesaikan perkara itu.

KESAN sisa kumbahan kandang babi menyebabkan pencemaran terhadap Sungai Giling di Kampung Batu Untong. - Foto Muhammad Sulaiman

SEBAHAGIAN daripada babi yang diternak di Kampung Batu Untong. - Foto Muhammad Sulaiman

"Isu ini sering didakwa akan diselesaikan tetapi bilangan kandang babi di sini bukan semakin berkurang sebaliknya makin banyak.

"Mereka tidak pernah datang bertemu kami selama bertahun-tahun kebelakangan ini. Jangan hanya kata bahawa isu ini sudah hampir selesai atau sedang dibincangkan kerana yang menderita adalah penduduk kampung," katanya.

Sementara itu, RD Monisha mendakwa, tidak pernah melihat pegawai kerajaan selain anggota polis yang melakukan pemeriksaan atau rondaan sekitar kandang babi yang terletak di hadapan rumahnya dekat Tanjung Batu.

"Rumah kami bersebelahan kandang babi di sini dan boleh melihat jelas jika ada lawatan di sini malah ayah saya juga tidak memberitahu apa-apa. Jika ada lawatan di sini, ayah saya orang pertama akan turut serta dan tahu butiran perbincangan," katanya.

KESAN sisa kumbahan kandang babi menyebabkan pencemaran Sungai Giling di Kampung Batu Untong. - Foto Muhammad Sulaiman
KOLAM kumbahan daripada kandang babi yang menyebabkan ketida kselesaan kepada segelintir penduduk setempat di Kampung Batu Untong. - Foto Muhammad Sulaiman
KESAN sisa kumbahan kandang babi menyebabkan pencemaran Sungai Giling di Kampung Batu Untong. - Foto Muhammad Sulaiman
ANTARA kolam kumbahan najis babi yang menyebabkan pencemaran bau busuk di sekitar Kampung Batu Untong. - Foto Muhammad Sulaiman
PENGERUSI JKKP Batu Laut, Ahmad Abd Karim. - Foto Muhammad Sulaiman
BABI yang diternak di Batu Untong dipercayai diangkut keluar dan dihantar ke pasaran luar setiap hari. - Foto Muhammad Sulaiman
SEBAHAGIAN daripada babi yang diternak di Kampung Batu Untong. - Foto Muhammad Sulaiman
Berita Harian X