Khamis, 10 November 2016 | 12:01am

Syamel resah isu ciplak lagu selubungi pencalonan anugerah

KUALA LUMPUR: Sejak bebas daripada 'sangkar emas' Akademi Fantasia (AF), tahun lalu, rasanya isu menciplak lagu ialah kontroversi paling panas pernah terpalit pada diri penyanyi yang semakin mencipta nama dalam industri seni, Syamel.

Perkara itu timbul apabila lagu Hidup Dalam Mati ciptaan Naib Juara AF 2015 itu didakwa mempunyai persamaan dengan lagu Ku Kejar Bayang Mu hasil ciptaan Ayai.

Walaupun isu berkenaan sudah pun selesai dan pihak Syamel bersetuju untuk meletakkan nama Ayai atau nama sebenarnya Zahruddin Kamaruddin sebagai pencipta bersama, seperti dituntut bekas vokalis kumpulan Ilusi itu, namun kontroversi terbabit meninggalkan kesan kepada anak muda ini.

Paling merisaukan jejaka itu apabila dakwaan menciplak berkenaan mampu mencalarkan reputasinya memandangkan dia bukan saja penyanyi yang bakal merebut tempat ke Anugerah Juara Lagu 31, malah turut dicalonkan dalam kategori Artis Baharu Terbaik, Anugerah Industri Muzik 22 (AIM 22).

SYAMEL bersyukur kerana peminat masih memberi sokongan dan sentiasa bersikap positif. - Foto Munira Abdul Ghani

Pengajaran berguna

Bertemu Syamel selepas beliau mengadakan persembahan pada Showcase Live Ekstravaganza! sempena AIM 22 di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, Ahad lalu, Syamel meluahkan kegusarannya berhubung isu itu.

"Bagi mereka yang tidak tahu cerita sebenar, pasti mereka menganggap Syamel menciplak lagu abang Ayai, walhal perkara itu tidak berlaku. Terus-terang Syamel memang risau dengan pandangan orang terhadap Syamel selepas ini. Bagaimanapun nak buat macam mana, orang tetap akan bercakap dan Syamel tak boleh buat apa-apa.

"Namun begitu, Syamel bersyukur kerana peminat masih memberi sokongan dan sentiasa bersikap positif. Apa yang berlaku ini Syamel jadikan satu pengajaran. Syamel kena berhati-hati selepas ini.

"Bukan mudah hendak menghasilkan lagu dan kalau mencipta karya baharu, Syamel terlebih dulu meminta nasihat dan pandangan mereka yang lebih arif," katanya kepada BH Plus.

SYAMEL bebas daripada 'sangkar emas' Akademi Fantasia tahun lalu. - Foto Aziah Azmee

Melodi melekat di kepala

Menjelaskan kontroversi yang berlaku, pemilik nama penuh Syameel Aqmal Mohd Fodzly ini sekali lagi menegaskan, dia tidak berniat menciplak lagu pemenang musim pertama program realiti Gegar Vaganza itu.

Sebaliknya, persamaan yang berlaku adalah sesuatu yang tidak disengajakan.

"Memang sebelum itu Syamel ada mendengar lagu ciptaan abang Ayai dan diakui melodinya melekat dalam kepala. Berikutan itu ada sedikit persamaan antara kedua-duanya kerana verse lagu itu berulang-ulang.

"Syamel ada mendengar isu ini dibangkitkan selepas tiga atau empat bulan Syamel keluar daripada AF, tetapi senyap begitu saja sehinggalah Hidup Dalam Mati berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 31.

"Bagi Syamel, isu lagu itu sudah pun selesai apabila wakil abang Ayai berbincang dengan pihak Astro dan bersetuju untuk meletakkan nama abang Ayai sebagai pencipta bersama," terangnya.

SYAMEL atau nama penuhnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly. - Foto Munira Abdul Ghani

Lebih Sempurna taruhan baharu

Walaupun hampir mencalarkan imejnya, namun insiden itu tidak sesekali mematahkan semangat pemuda ini untuk terus menghasilkan karya bermutu. Buktinya, dia baru saja tampil dengan single baharu berjudul Lebih Sempurna hasil ciptaan bersama Edry Abdul Halim dan Boy Anaz.

"Orang ramai bertanya, sampai bila saya mahu bergantung dengan lagu Hidup Dalam Mati? Berikutan itu saya tampil dengan single terbaharu berjudul Lebih Sempurna.

"Lagu ini ialah kesinambungan kepada single pertama Syamel. Jika sebelum ini peminat lagu terbabit tidak tahu apa kesudahan kepada kisah yang dipaparkan dalam single pertama, menerusi Lebih Sempurna mereka akan tahu kenapa saya ditinggalkan," katanya.

PERSEMBAHAN Syamel ketika menjayakan Showcase Live Ekstravaganza! di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur. - Foto Mahzir Mat Isa

Gementar hadapi separuh akhir

Bercerita mengenai persiapan untuk peringkat separuh akhir yang akan berlangsung malam nanti, jejaka berkulit hitam manis ini sanggup menghentikan semua aktiviti lain semata-mata mahu menumpukan perhatian terhadap pertandingan berkenaan.

"Kebetulan bulan ini Syamel ada banyak aktiviti, tetapi demi pertandingan ini, Syamel terpaksa hentikan seketika semua program termasuk bersenam kerana Syamel mahu berehat.

"Terus-terang Syamel sangat gementar kerana persaingan malam itu nanti sangat sengit. Lebih merisaukan apabila ada yang meletakkan harapan yang cukup tinggi. Jadi, bimbang juga kalau Syamel menghampakan harapan mereka nanti. Apapun Syamel tetap akan memberikan yang terbaik pada malam pertandingan nanti," katanya.

Fakta Nombor

* 2015 Tahun Syamel mula menyerlah di arena seni selepas menyertai Akademi Fantasia dua musim lalu.

* 2 lagu diterbitkan Syamel sehingga kini.

SYAMEL baru saja tampil dengan single baharu berjudul Lebih Sempurna. - Foto Mahzir Mat Isa
Berita Harian X