Rabu, 9 November 2016 | 8:42pm

279 suspek penagih ditahan dalam Ops Sarang

MARAN: Seramai 279 suspek dipercayai penagih dan pengedar dadah diberkas dalam Ops Sarang di sekitar daerah ini yang bermula semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang, Superintendan Lam Thiam Huat, berkata operasi itu membabitkan pegawai dan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman.

"Dalam Ops Sarang ini, kita berjaya merampas lapan bakul berisi daun ketum dan tiga botol air ketum yang sudah siap diproses. Selain itu, kita turut merampas sejumlah dadah jenis heroin, syabu dan Eramin 5," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran, dekat sini, petang tadi.

Beliau berkata, Ops Sarang itu bukan sahaja menumpukan kepada sekatan jalan raya dan serbuan dari rumah ke rumah, bahkan turut melakukan pemeriksaan di beberapa lokasi panas sekitar daerah ini yang dikenal pasti hasil risikan dan maklumat awam.

Katanya, operasi itu turut mendapat kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pahang.

Berita Harian X