Rabu, 9 November 2016 | 7:26pm

Sharp sasar jualan RM1b tahun depan


Pengarah Urusan Sharp-Roxy Sales & Service Company (M) Sdn Bhd, Takaya Wakasumi (tengah) ketika sidang media di majlis pelancaran produk baharu Sharp bertemakan inovasi perubahan inspirasi, turut kelihatan Penolong Pengurus Besar A-Force Team, Bobby Tan (kiri), Pengurus Besar Pemasaran, Lau Siong Giap, Pengurus Besar Jualan, Tok Sang Man (dua kanan) dan Penolong Pengurus Besar Pemasaran, Abdul Hamid (kanan). - Foto Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Sharp-Roxy Sales & Service Company (M) Sdn Bhd (SRSSC), syarikat pemasaran Sharp Group, yakin mencatat jualan RM1 bilion pada tahun depan berbanding RM900 juta ketika ini.

Pengarah Urusannya, Takaya Wakasumi, berkata sasaran itu disokong oleh pengenalan beberapa model kelengkapan rumah inovatif terbaharu, khusus bagi memenuhi keperluan pelanggan pada masa depan.

Katanya, berdasarkan data yang dikeluarkan Kumpulan Peruncitan Malaysia, perniagaan runcit menurun 4.4 peratus pada suku pertama tahun ini.

"Ia disebabkan beberapa faktor termasuk pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta kelemahan nilai ringgit, selain kos hidup semakin meningkat. Ia sememangnya memberi kesan besar kepada kuasa beli pengguna.

"Malah, melihat kepada situasi pasaran pada masa ini, sebenarnya berlaku penurunan pelanggan kami antara 10 peratus hingga 20 peratus.

"Bagaimanapun, kami masih mengekalkan momentum cemerlang pada masa ini. Malah, kami berusaha untuk mengembangkan perniagaan sehingga mencapai peningkatan 10 peratus pada tahun depan menerusi strategi dan aktiviti pemasaran yang agresif," katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran rangkaian Produk Baharu Sharp dengan tema "Inovasi. Perubahan. Inspirasi" di sini, hari ini. Yang turut hadir Pengarah Urusan CEP Sales, Tok Sang Man.

Pada majlis itu, beberapa produk kelengkapan rumah inovasi terkini diperkenalkan bagi pasaran 2016 dan 2017, antaranya TV LCD Aquos 8K pertama di dunia, diikuti siri terbaharu LCD TV 60 inci.

Bagi rangkaian model peti sejuk, Sharp memperkenalkan peti sejuk lima pintu bersaiz besar dengan rekaan unik dan moden, dikenali sebagai Siri Hikaru.

Produk lain yang diperkenalkan ialah mesin basuh Ultrasonic Sharp dengan fungsi penanggal kotoran, pendingin hawa mesra alam sekitar dan penapis udara.

Info

* TV Pintar

- 16 model diperkenalkan bagi memenuhi permintaan segmen TV Pintar

- Harga bermula RM3,999 hingga RM35,999

* Mesin Basuh Sharp Ultrasonic

- berfungsi menanggalkan kesan gincu, kopi atau minyak kenderaan

- bersaiz kecil dengan berat 200 gram

- RM499 termasuk GST

* Peti Sejuk Siri Hikaru

- Berada di pasaran Disember 2016

- Harga bermula RM8,999 hingga RM11,999

* Pendingin hawa Siri UXD

- 65 peratus jimat tenaga

- lebih penyejukan

- Berada di pasaran Disember 2016 pada harga antara RM1,999 dan RM2,599

* Penapis udara teknologi Plasmacluster Ion

- 99 peratus berkesan menapis virus, bakteria dan bau

- Harga bermula RM1,089 hingga RM1,299

Berita Harian X