Rabu, 9 November 2016 | 1:01pm

2 anggota polis cedera kemalangan

ROMPIN: Dua anggota polis cedera termasuk seorang parah, apabila kereta  PROTON Wira dinaiki mereka bersama seorang lagi rakan yang melakukan rondaan cegah jenayah bertembung dengan sebuah kereta PERODUA Alza di Kilometer 134 Jalan Kuantan-Segamat, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, mangsa, Paskhalid Osman, 30, penumpang hadapan dan bertugas di Balai Polis Trafik Rompin, parah pada bahagian kepala dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk rawatan lanjut.

Pemandu kereta,  Azmi Mohmad, 31, bertugas di Balai Polis Muadzam Shah cedera ringan dan masih mendapatkan rawatan di Hospital Muadzam Shah, manakala penumpang belakang, Mohd Husaini Hassan, 29, bertugas di Balai Polis Bukit Ibam tidak mengalami kecederaan. 

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd Aidil Roneh, berkata kejadian dipercayai berlaku apabila kereta PERODUA Alza yang dalam perjalanan menghala ke Segamat dari Pekan memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta dinaiki tiga anggota polis berkenaan.

"Kita masih menyiasat punca sebenar kejadian itu dan akan bertemu pemandu PERODUA Alza yang belum dikenal pasti identiti serta tiga anggota terbabit untuk membantu siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan.

22 dibaca
Berita Harian X