Rabu, 9 November 2016 | 10:45am

Usahawan belia terima bantuan RM115,500

PASIR GUDANG: Kerajaan negeri memperuntukkan RM115,500 menerusi Perbadanan Islam Johor (PIJ) bagi membantu 69 usahawan belia di kawasan Parlimen Pasir Gudang memajukan diri dalam bidang perniagaan.

Secara keseluruhan, PIJ meluluskan bantuan kepada 617 usahawan belia di seluruh negeri ini tetapi setakat ini, jumlah sebenar bantuan akan diterima belum dimuktamadkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata seramai 69 usahawan di Parlimen Pasir Gudang menerima bantuan sebagai inisiatif berterusan pihaknya bagi menyuntik semangat belia menyertai bidang keusahawanan.

Katanya, 18 penerima Bantuan Usahawan Belia mendapat bantuan bernilai RM5,000, manakala 51 penerima Bantuan Penjaja Kecil mendapat RM500 seorang.

"Sokongan dan keprihatinan ditunjukkan ini diharap dapat menggalakkan usahawan mempertingkatkan usaha bagi mengembangkan perniagaan masing-masing.

"Kerajaan negeri amat menggalakkan budaya keusahawanan seumpama ini bagi memastikan negeri akan terus membangun dan manfaat pembangunannya dapat dirasai pelbagai lapisan masyarakat," katanya berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Usahawan Belia PIJ di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan.

Sementara itu, penerima Bantuan Usahawan Belia, Mohd Zaki Mohd Razib, 29, berkata bantuan berkenaan membolehkannya menambah kapasiti pengeluaran produk perniagaan, sekali gus menjana pendapatan tambahan.

Beliau yang mengusahakan tanaman cendawan di Kempas, dekat sini, sejak awal November tahun lalu, hanya memperoleh pendapatan sehingga RM700 sebulan bagi 60 kilogram cendawan matang.

"Bantuan diterima akan saya manfaat dengan pertambahan kapasiti daripada 1,000 bongkah cendawan kepada 3,000 bongkah, yang mampu mengeluarkan hasil sehingga tiga kali ganda daripada pengeluaran sedia ada.

"Ini secara tidak langsung membantu saya memasarkan produk secara dalam talian, selain memenuhi permintaan penduduk tempatan khususnya di kawasan perkampungan," katanya.

Berita Harian X