Rabu, 9 November 2016 | 10:41am

23 PATI dicekup dalam Op Ikrar

ALOR SETAR: Seorang wanita warga Indonesia bertindak melarikan diri dengan bersembunyi di sebalik semak samun selepas terkejut melihat kehadiran anggota penguat kuasa dalam Op Ikrar di tapak pembinaan Mukin Naga, Jitra, semalam.

Wanita berusia lingkungan awal 30-an itu antara 23 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diberkas Jabatan Imigresen negeri dalam operasi bermula jam 10.30 pagi di tiga tapak pembinaan berasingan sekitar pusat bandar ini dan Jitra.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa negeri, Mohd Shahrir Khalil, berkata operasi diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan, Marlis Marhaini Abd Rashid bersama 14 anggota itu membuat pemeriksaan ke atas 49 pekerja asing termasuk tiga warga tempatan di tiga lokasi berasingan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan pihaknya mengesan 23 daripadanya membabitkan 18 lelaki warga Bangladesh, dua lelaki dan seorang wanita warga Indonesia serta masing-masing seorang lelaki dan wanita warga Myanmar berusia 22 hingga 45 tahun melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

Katanya, siasatan awal mendapati 14 daripada mereka tidak mempunyai pas atau permit sah, lapan lagi melanggar syarat pas diberikan dan seorang melakukan kesalahan menetap lebih masa dalam negara tanpa kebenaran.

"Ketika serbuan dijalankan di tapak pembinaan di Alor Setar dan Jitra, ada antara mereka cuba melarikan diri dan bersembunyi, tetapi berjaya ditahan anggota penguat kuasa yang membuat kepungan di sekeliling kawasan berkenaan.

"Semua PATI ini akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) akta sama dan peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963," katanya dalam satu kenyataan, di sini sebentar tadi.

Berita Harian X