Rabu, 9 November 2016 | 6:51am

Fenomena jualan tanah timbul konflik lebih besar

PENJUALAN tanah oleh komuniti Melayu (Islam) di kawasan Tanjung Sepat terutamanya di Batu Laut, Bukit Untung dan Tanjung Laut kerana usaha penternakan babi dikatakan mencemar tanah dan air disebabkan najis babi, perlu ditangani kerajaan secara berhemah.

Penduduk terpaksa jual tanah pada harga rendah kerana sudah tidak tahan dengan bau najis dan berasakan tanah telah tidak berguna lagi.

Ini contoh nyata isu pertanian dan alam sekitar menjangkau melampaui isu pencemaran, tetapi babit aspek keharmonian kaum, khususnya kepercayaan dan agama penduduk majoriti negara.

Perancangan pembangunan wilayah, khususnya aktiviti sensitif alam sekitar dan budaya perlu diberi perhatian paling tinggi dalam pengurusan pembangunan dan alam sekitar atau sering disebut pembangunan lestari.

Rancangan pembangunan pertanian dan penternakan dalam sebuah lembangan sungai perlu diberi perhatian kepada aktiviti tidak cemar alam sekitar hingga kepada pencemaran memudaratkan, seterusnya aktiviti mencemar yang boleh bawa konflik berkaitan kepercayaan atau agama.

Sebagai contoh, di bahagian hulu elok dibiarkan sebagai kawasan hutan, diikuti pertanian jangka panjang (kelapa sawit dan getah), pertanian kontan (sayur-sayuran), dan di bahagian hiliran penternakan, dan akhirnya di kawasan khas untuk ternak babi (amat sensitif kepada komuniti Melayu).

Lembangan sungai adalah satu sistem tertutup yang mana proses hidrologi, hidrogeologi dan ekologi berkait rapat. Contohnya, setiap titik hujan yang turun ke lembangan akan dialirkan anak sungai, bercantum dan akhirnya masuk sungai utama dan ke laut.

Air yang meresap ke tanah, bergerak lebih perlahan, muncul ke permukaan sebagai mata air, dan akhirnya ke sungai utama dan ke laut.

Oleh itu, semua pencemaran di bahagian hulu dan sepanjang anak sungai diangkut dan akhirnya mencemari hilir sungai, proses yang sering timbulkan masalah alam sekitar dan penduduk sekitar lembangan. Di Tanjung Sepat umpamanya, najis dan pencemaran ternakan babi meresap ke tanah dan berkumpul dalam kuantiti tinggi.

Setiap kali musim hujan apabila air meresap dan mengalir keluar ke sungai, ia mencemari air sungai dan seterusnya ke laut. Oleh kerana kurang kawalan pencemaran dikenakan kepada pengusaha, kadar pencemaran meningkat, bau najis semakin ketara hingga menimbulkan rasa cemas dan tidak berpuas hati komuniti Melayu yang memiliki tanah, tinggal berhampiran atau di hiliran kawasan itu.

Lebih membimbangkan, jika fenomena jualan tanah ini tidak dibendung, ia akan jadi lebih serius dan timbulkan konflik lebih besar. Tanah dibeli, kemungkinan oleh pengusaha ternakan babi, jika tidak dikawal akan meluaskan lagi ladang ternakan dan akhirnya mencetus pencemaran luar kawalan.

Gugat kesihatan, perpaduan

Pencemaran dan impak penternakan babi bukan sahaja babit alam sekitar, tetapi kesihatan awam dan menggugat perpaduan berasaskan kepercayaan agama. Kita pastinya masih ingat, satu ketika dahulu, akibat ternakan babi di kawasan sama, negara diancam virus JE (Japanese Encephalitis).

Saya cadang supaya agensi perancang kerajaan, khususnya kerajaan negeri Selangor beri perhatian serius terhadap kawalan dan kelulusan aktiviti ternakan babi, termasuk a) kawasan ternak babi hanya boleh diluluskan di kawasan khas mengambil kira kesesuaian lokasi dan sistem hidrologi; b) kenakan syarat ketat termasuk mekanisme pemprosesan najis setempat dan kawalan pencemaran khusus; c) sebarang projek yang boleh timbulkan konflik budaya dan kepercayaan perlu dirundingi dan dapat persetujuan komuniti setempat.

Berita Harian X