Rabu, 9 November 2016 | 12:08am

Banyak kandang babi tak berlesen di Kuala Langat

SHAH ALAM: Hanya 31 daripada 132 ladang ternakan babi yang beroperasi di daerah Kuala Langat yang berlesen.

Semua ladang ternakan terbabit yang sebahagiannya mencetuskan masalah pencemaran alam sekitar diusahakan oleh 127 pengusaha.

Pemangku Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Nor Zamri Sondor, berkata bagi ladang ternakan yang belum dilesenkan itu, kerajaan negeri sedang menghantar Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK).

TINJAUAN kandang khinzir di Batu Untung Kampung Batu Laut. - Foto Hafiz Sohaimi

"Pemantauan berkala dan persampelan juga dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) di semua ladang yang berlesen bagi memastikan pematuhan syarat lesen oleh pengusaha khususnya aspek kawalan pencemaran," katanya dalam satu kenyataan kepada BH semalam.

Nor Zamri mengulas mengulas laporan BH sebelum ini membabitkan rungutan penduduk di Kampung Batu Laut, Sepang, terhadap masalah pencemaran najis babi dari ladang penternakan haiwan berkenaan di kampung mereka yang sudah berlarutan sekian lama tanpa penyelesaian.

Malah, ada penduduk Melayu yang menjual tanah mereka yang berdekatan dengan ladang babi terbabit kerana tidak tahan bau busuk selain menyebabkan tanah tidak produktif.

Pencemaran najis babi juga menyebabkan 20 pengusaha belacan di kawasan berkenaan gulung tikar apabila sungai tempat mereka mencari udang geragau, bahan utama makanan itu dicemari.

ANTARA kandang babi di Batu Untung Kampung Batu Laut .- Foto Hafiz Sohaimi

Nor Zamri berkata kerajaan negeri kini dalam fasa akhir semakan pelaksanaan projek Ladang Babi Moden (MFP) bagi menguruskan semua penternak dan ladang haiwan berkenaan di negeri ini.

Katanya, satu jawatankuasa sudah dibentuk yang dipengerusikan oleh EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib serta dianggotai oleh wakil pelbagai agensi teknikal berkaitan.

"Menerusi projek berkenaan, penternakan babi di negeri ini akan diuruskan dengan menggunakan teknologi hijau yang akan memberi kesan positif kepada penjagaan alam sekitar dan sumber air.

"Ia sudah di peringkat akhir perbincangan dan jika tiada sebarang masalah, projek berkenaan akan dijalankan secepat mungkin," katanya.

Ancaman E Coli, JE

Felo Kanan dan Ketua Hal Ehwal Jaringan dan Industri (HEJIM), Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Shahrudin Idrus, pula berkata penduduk di sekitar kawasan penternakan babi bukan sahaja terdedah dengan penularan virus Japanese Encephalitis (JE), malah berisiko dijangkiti bakteria Escherichia Coli (e coli).

Berikutan pencemaran najis babi yang terlalu lama, bakteria itu bersarang dalam ekosistem kawasan terbabit sekali gus membahayakan orang ramai.

Katanya penyebaran penyakit akan berlaku apabila najis babi yang tidak diselia baik bukan sahaja mencemari lokasi khusus di Kampung Batu Laut, malah merebak dan merosakkan sistem pengairan dan sebahagian pantai.

Beliau berkata kesan itu dapat dilihat di Sungai Giling yang paling teruk tercemar dan boleh dianggap sudah mati kerana tidak mempunyai habitat hidupan air.

TINJAUAN pencemaran akibat kandang khinzir di Batu Untung Kampung Batu Laut. - Foto Hafiz Sohaimi

Shahrudin yang pernah melakukan kajian pencemaran itu di situ pada 2002 diminta mengulas kesan paling buruk jika isu berkenaan tidak diselesaikan dalam tempoh lima tahun lagi.

"Kehadiran e coli yang tinggi akan menyebabkan  tiada kehidupan laut mampu bertahan untuk terus hidup malah bakteria yang dikesan dalam najis babi dan disebarkan melalui air itu akan menyebabkan beberapa penyakit termasuk jangkitan salur urinari, cirit-birit, pneumonia, meningitis dan jangkitan luka.

"Jika dibiarkan, pelbagai kesan akan dilihat dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang antaranya sungai di sini akan mati seperti yang berlaku di Sungai Linggi pada masa dahulu. Kesannya masih dirasai hingga kini," katanya.

Ditanya mengenai tindakan penduduk khususnya orang Melayu yang tidak tahan dengan pencemaran najis babi, Shahrudin berkata, situasi itu bermakna daya tahan mereka sudah mencapai tahap terendah dan boleh mendatangkan implikasi besar pada masa depan.

Kerajaan janji bertindak

Sementara itu, beberapa pihak meminta kerajaan negeri supaya tidak hanya berjanji untuk menyelesaikan masalah itu.

Ia berikutan kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mengenai rancangan untuk membangunkan ladang ternakan babi yang menggunakan teknologi baharu.

Azmin pada Selasa berkata beberapa cadangan sudah dikemukakan termasuk perbincangan dengan penduduk kampung serta mereka yang terbabit.

"Rancangan itu akan kita laksanakan apabila mendapat persetujuan dengan semua pihak. Kalau boleh, kita mahu ia dijalankan dengan secepat mungkin kerana perbincangan sudah dijalankan agak lama dengan penduduk kampung, pimpinan masjid dan surau serta pihak yang akan memajukan projek ini," katanya.

Pengerusi Majlis Pengguna Selangor, Datuk Dr Jacob George, mempersoalkan apa yang terjadi dengan janji kerajaan negeri sebelum ini untuk melaksanakan projek Ladang babi Moden (MPF) pada 2008 membabitkan kos RM100 juta.

Beliau berkata, apa yang berlaku ialah penduduk di kawasan terbabit terus menghadapi masalah pencemaran yang teruk dari semasa ke semasa.

"Apa sudah jadi dengan perancangan serta projek yang mahu dilaksanakan itu dan di mana janji yang diberikan untuk menyelesaikan isu ini.

"Isu pencemaran ini bukan isu agama atau kaum tetapi membabitkan kehidupan masyarakat setempat serta pencemaran alam sekitar.

"Sepatutnya ia diselesaikan sejak sekian lama dan mungkin akan dimanipulasikan pihak tertentu," katanya kepada BH.

KETUA kampung, Mohamad Azam Hashim, ketika melihat keadaan Jeti Tanjung Layang yang tercemar akibat kandang babi di sekitar Kampung Batu Laut. - Foto Hafiz Sohaimi

Beliau yang juga Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) turut menyokong jika perusahaan yang mengakibatkan kemusnahan alam sekitar serta kehidupan pengguna dihapuskan terus untuk kelestarian semua pihak.

Pengerusi Persatuan Nelayan Pangkalan Sungai Mesuk, Jamaluddin Bulat, menafikan ada pihak datang berbincang dengan pihaknya mengenai isu pencemaran najis babi itu.

"Selama 11 tahun saya menjadi pengerusi persatuan, tidak pernah sekali menyertai perbincangan yang didakwa dan isu itu masih berlaku.

"Walaupun kawasan kami tidak terbabit, ia sangat hampir dan mungkin akan terjejas pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata pada masa ini, segala usaha yang dilakukan adalah hanya mahu mempertahankan Sungai Mesuk kerana ia adalah sumber ekonomi kami agar tidak rosak seperti saliran dan sungai lain.

Berita Harian X