Selasa, 2 Disember 2014 | 10:02am

Nelayan lemas bot karam dekat Pulau Jarak

LUMUT: Seorang nelayan lemas manakala dua lagi rakannya terselamat selepas cuba menyelamatkan diri dengan berenang apabila bot yang dinaiki mereka rosak dan dimasuki air di perairan 1.5 batu nautika dari Pulau Jarak di sini, awal hari ini.

Dalam kejadian 4 pagi tadi, mangsa Abdullah Deraman, 60, berasal dari Pasir Puteh, Kelantan meninggal dunia di Pulau Jarak semasa berenang ke pulau itu bersama dua rakannya yang berasal dari Bachok, Kelantan, Ibrahim Rahman, 60, dan Mohd Zaidi Mohd Nor, 36.

Pengarah Operasi Daerah Maritim 3 Lumut, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zulinda Ramly, berkata bot nelayan bubu yang dinaiki mereka dimasuki air melalui paip pelepasan yang pecah, dipercayai akibat ombak kuat.

"Untuk menyelamatkan diri, Abdullah terjun ke laut kemudian diikuti dua rakannya, menuju ke Pulau Jarak. Ketika itu Ibrahim berenang sambil berpaut pada cerek air sebagai bantuan dan Mohd Zaidi menggunakan tali manakala Abdullah tidak memegang apa-apa.

"Sebaik tiba di Pulau Jarak kira-kira pukul 5.20 pagi, pihak tentera membuat pemeriksaan ke atas Abdullah dan mendapati dia meninggal dunia kemungkinan disebabkan sesak nafas," katanya kepada pemberita hari ini.

--Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat manakala dua lagi mangsa menerima rawatan pesakit luar di hospital yang sama.

Zulinda berkata, mereka berada di Pasir Panjang di sini, sejak 22 November lepas untuk bekerja dengan pemilik bot nelayan itu.

"Tekong Ibrahim dan awak-awak Abdullah serta Mohd Zaidi dari Pasir Panjang keluar menangkap ikan pada 2 petang semalam dan tiba di Pulau Jarak pada pukul 7 petang.

"Mereka melakukan persiapan untuk menangkap ikan dan tidur di sana. Lebih kurang pukul 4 pagi mereka tersedar bot dimasuki air," katanya.

Beliau berkata, lima anggota APMM termasuk seorang pegawai ke Pulau Jarak dan membawa kesemua mangsa ke Jeti Lumut pada pukul 11 pagi tadi.

- BERNAMA

Berita Harian X