Selasa, 8 November 2016 | 12:14am
bhplus kandang babi

Jangan biar JE merebak baru hendak bertindak

KUALA LUMPUR: Jangan biarkan wabak Japanese Encephalitis (JE) merebak semula baru hendak bertindak.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendesak pihak berkuasa terutama kerajaan negeri menyelesaikan segera isu pencemaran najis babi dan kemungkinan penternakan haram haiwan itu di beberapa kawasan di daerah Kuala Langat.

"Selesai segera dan jangan tunggu wabak  JE menyerang semula kerana isu ini sudah terlalu lama," kata Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.

Beliau berkata PPIM pelik mengapa isu itu dibiarkan terlalu lama tanpa penyelesaian sehingga menjadi tidak terkawal dan menjejaskan kehidupan dan ekonomi rakyat.

"Saya pelik kenapa masalah ini berlarutan dengan air yang  terlalu kotor, laut tercemar seperti tiada siapa yang melihat perkara ini terjadi sedangkan ia berkaitan dengan penyakit berbahaya."

"Takkan tiada mata yang melihat dan mengambil tindakan kerana kesan pencemaran akibat najis babi boleh dilihat dengan mudah di situ. Jabatan Alam Sekitar (JAS) perlu terus lihat dan lakukan sesuatu," katanya.

KETUA Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) , Datuk Nadzim Johan. - Foto Hafiz Sohaimi

PENCEMARAN najis babi di Sungai Giling akibat dari kandang babi di sekitar Kampung Batu Laut. - Foto Hafiz Sohaimi

Beliau berkata isu itu sepatutnya sudah selama selesai jika pihak bertanggungjawab melakukan sesuatu untuk mengelakkan kesan yang lebih buruk kepada masyarakat sekitar.

"Penternakan yang tidak terkawal bukan sekadar mengganggu aktiviti seharian penduduk Islam malah pencemaran yang di tahap buruk memberi kesan kepada majoriti penduduk di situ," katanya.

Beliau mengulas laporan BH mengenai masalah pencemaran najis babi yang teruk di Kuala Langat, khususnya Kampung Batu Laut dan sekitar jeti nelayan Sungai Mesuk sehingga menjejaskan ekonomi penduduk sekitar.

Malah, antara lima hingga enam penduduk Melayu yang menjual tanah mereka yang berada hampir dengan kandang babi kerana tidak tahan dengan pencemaran serta tanah menjadi tidak produktif.

Mengulas mengenai isu penjualan tanah, Nadzim berkata, ia menunjukkan isu berkenaan menjadi terlalu serius dan memerlukan tindakan segera.

Sementara itu, Orang Besar Daerah Kuala Langat, Tengku Mohamed Tengku Harun, ketika dihubungi berkata beliau akan mendapatkan penjelasan daripada Pegawai Daerah Kuala Langat dan Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat berhubung isu berkenaan.

KETUA Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris melihat kesan kebakaran pada mimbar dan permaidani di Masjid Padang Setol dipercayai ankara perbuatan khianat. NSTP/Shahrizal Md Noor

TINJAUAN kandang khinzir di Batu Untung Kampung Batu Laut. - Foto Hafiz Sohaimi

Katanya, beliau belum menerima aduan secara rasmi berhubung perkara itu.  

"Bagaimanapun, selepas dimaklumkan ini, saya akan mengadakan pertemuan dengan Pegawai Daerah dan Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) untuk mendapatkan maklumat sebenar apa yang berlaku," katanya.

Malah, katanya, masalah pencemaran akibat penternakan babi secara haram itu pernah juga mendapat teguran daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Ketika itu, saya dimaklumkan oleh pegawai daerah bahawa kerajaan negeri bersetuju untuk memindahkan pengusaha ladang penternakan babi ke tempat lain.

"Jika masalah ini terlalu serius, perkara ini akan diajukan kepada kerajaan negeri supaya tindakan sewajarnya dapat diambil," katanya.

Mahu pindah tapi tidak mampu

"Saya juga mahu berpindah jika berkemampuan dan ada tanah lain."

Demikian kata, RM Raja Doorai, 54, penduduk Batu Untung, Kampung Batu Laut, turut yang turut menerima kesan buruk akibat pencemaran najis babi di kawasan berkenaan.

Raja Doorai, yang mengusahakan tanaman sirih berkata sudah 50 tahun dia tinggal di kampung itu dan masalah itu tidak pernah selesai sejak sekian lama.

Katanya dia juga sudah jemu dengan pencemaran bau di sekitar rumahnya.

ANAK sungai yang dicemari teruk najis babi di Batu Untung Kampung Batu Laut. - Foto Hafiz Sohaimi

"Keadaan semakin buruk hari demi hari terutamanya apabila air najis babi disimpan dalam kolam kumbahan dan dilepaskan ke dalam saliran di hadapan rumah.

"Dahulu kawasan penternakan jauh ke dalam ladang tetapi kini kandang semakin banyak dan kerana penduduk menjual tanah kepada mereka," katanya.

Raja Doorai berkata dia dan mendiang bapanya pernah membuat laporan tetapi boleh dikatakan tiada tindakan langsung malah kandang babi semakin banyak dan besar kebelakangan ini.

"Dahulu kampung ini pernah menang pertandingan kampung tercantik tetapi sekarang itu hanya tinggal kenangan kerana tiada yang menarik boleh dikatakan kecuali kandang babi serta bau busuk sahaja," katanya.

Penduduk lain, A Sumati, 45, pula berkata, walaupun sudah 22 tahun tinggal di Batu Untung dia masih tidak lali dengan bau najis babi terutama sekali ketika berada di kuil.

"Setiap hari kira-kira jam 7.30 malam air najis babi dari kolam kumbahan dilepaskan ke saliran dan baunya sangat busuk dan tiada siapa yang boleh tahan.

"Kami sekeluarga akan tutup rapat segala pintu dan tingkap rumah untuk mengelakkan bau meloyakan itu masuk tetapi itu tidak menyelesaikan masalah pun," katanya.

Sumati berkata, dia bimbang masalah wabak Japanese Encephalitis (JE) akan menular semula jika kandang serta kolam kumbahan najis babi tidak diselia dengan baik.

"Disebabkan kami sekeluarga tinggal bersebelahan dengan kandang babi, kami risau akan menjadi orang pertama terkena sebarang penyakit nanti," katanya

Kata Sumati, masalah itu sudah banyak kali diadukan kepada penguat kuasa kesihatan yang datang melakukan pemeriksaan namun mereka hanya meminta kami membuat aduan secara rasmi.

Berita Harian X