Isnin, 7 November 2016 | 4:20pm

Pelajar cacat penglihatan tetap semangat menduduki SPM

KOTA BHARU: Cacat penglihatan tidak menjadi penghalang bagi seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menduduki peperiksaan itu.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Melor, Muhammad Qayyim Nizar Sarimin, 18, berkata walaupun cacat penglihatan, ia tidak menghalangnya untuk menduduki SPM seperti pelajar lain.

Katanya, dorongan ibu bapa, rakan dan guru sekolahnya, menguatkan lagi semangatnya untuk berjaya.

"Setiap hari saya mengulangkaji lapan mata pelajaran yang diambil dalam SPM, dengan menggunakan Braille, dan tekun dengan pembelajaran yang diajar guru.

"Malah saya lebih beruntung berbanding pelajar lain kerana diberi kelas tambahan khas untuk lebih memahami mata pelajaran Sains, Matematik dan bahasa Inggeris," katanya ketika ditemui, di SMKA Melor, di sini, hari ini.

Anak sulung daripada enam beradik itu, bercita-cita untuk menjadi pensyarah bahasa Arab dan bahasa Inggeris kerana yakin memperoleh keputusan 8A dalam SPM.

"Bagi memastikan kejayaan itu tercapai saya sentiasa mengamalkan solat sunat hajat secara konsisten bermula awal tahun sehingga sekarang," katanya yang pernah mendapat empat kali Anugerah Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kementerian.

Katanya, lebih teruja apabila diberi kemudahan bilik khas untuk menduduki peperiksaan itu dan memudahkannya menjawab soalan menggunakan mesin Braille.

Berita Harian X