Isnin, 7 November 2016 | 12:37am

Penduduk Melayu jual tanah kerana najis babi

TANJUNG SEPAT: Najis babi yang disalurkan ke sungai, bukan setakat mencemarkan persekitaran kampung hingga ke pantai, malah menyebabkan penduduk khususnya orang Melayu sekitar Batu Laut di sini, berpindah keluar selepas menjual tanah masing-masing yang tercemar.

Setiap tahun, antara lima hingga enam penduduk menjual tanah di kawasan itu. Sejak lima tahun lalu, lebih 12 hektar tanah berstatus pegangan bebas milik penduduk Melayu di situ, sudah bertukar milik selepas pemiliknya tidak mampu meneruskan kehidupan diselubungi bau busuk kesan pencemaran najis babi.

KAWASAN sekitar Batu Untung Kampung Batu Laut diselubungi pencemaran bau busuk. - Foto Hafiz Sohaimi

Lebih malang, nilai tanah yang diselubungi pencemaran itu juga merosot hampir 45 peratus. Dalam penjualan terbaharu, seorang penduduk hanya mampu memperoleh RM100,000 bagi keluasan tanah seluas 0.4 hektar, berbanding RM180,000 nilai semasa.

Tanah milik penduduk yang dijual itu khususnya sekitar Batu Untung dan Tanjung Layang dibeli penternak babi berdekatan yang membolehkan mereka membesarkan kandang serta meningkatkan kapasiti ternakan babi masing-masing.

Ketua Kampung Batu Laut,  Mohamad Azam Hashim, 45, berkata penduduk berhampiran kawasan menempatkan kandang babi atau kawasan tercemar, menjual tanah mereka kerana kawasan itu tidak lagi dapat dimanfaatkan untuk pertanian.

KESAN pencemaran akibat sisa najis babi di Batu Untung dekat Kampung Batu Laut. - Foto Hafiz Sohaimi

"Tanah dicemari najis babi ini tidak subur untuk tanaman lain, selain dipandang jijik penduduk setempat. Sesetengah tanah walaupun mendatangkan hasil kerana menempatkan tanaman sawit, namun tidak dapat dimanfaatkan kerana penduduk jijik kepada najis babi.

"Ini yang terjadi kepada penduduk Batu Laut khususnya sekitar Batu Untung dan Tanjung Layang, terpaksa melepaskan pemilikan tanah kepada pihak tertentu kerana tidak tahan dengan pencemaran yang berlaku atau tanah mereka tidak lagi dapat digunakan.

"Contohnya bersebelahan Sungai Giling adalah tanah kelapa sawit milik orang Melayu, namun disebabkan sungai itu dicemar teruk najis babi, pemilik membiarkannya begitu sahaja dan mungkin menunggu masa untuk dijual pada harga tertentu," katanya kepada BH.

Mohamad Azam berkata, ekoran pencemaran yang berlaku juga, tiada pembeli lain yang berminat terhadap kawasan tanah di situ melainkan penternak babi yang kemudiannya meluaskan kandang mereka.

"Inilah yang terjadi sejak sekian lama apabila penternak babi mengambil peluang membeli tanah yang kebanyakannya berstatus pegangan bebas.

KETUA Kampung Batu Laut,  Mohamad Azam Hashim - Foto Hafiz Sohaimi

"Biasanya, tanah yang dibeli mulanya dibiarkan begitu sahaja sebelum dijadikan tapak baharu kandang atau loji kumbahan," katanya.

Beliau berkata, pada masa lalu, hanya sebilangan kecil sahaja penternak babi ada di situ tetapi susulan penjualan tanah yang berlaku secara terpaksa oleh orang Melayu itu, menyebabkan kandang babi kini berselerakan dengan banyak sekitar kampung ini.

Katanya, meskipun menambah kandang dan memperluaskan kawasan ternakan babi, penternaknya tidak berada di situ kerana tidak selesa dengan pencemaran, sebaliknya tinggal di sekitar pekan Tanjung Sepat dan menempatkan pekerja bagi mengawasi ternakan masing-masing.

PENCEMARAN Sungai Giling berpunca daripada sistem pelupusan najis babi secara terus ke sungai. Foto Hafiz Sohaimi
NAJIS babi menyebabkan pencemaran terhadap Sungai Giling sehingga menjejaskan kehidupan penduduk sekitarnya. Foto Hafiz Sohaimi
PENCEMARAN najis babi terhadap Sungai Giling menyebabkan nilai tanah milik penduduk sekitar Batu Laut merosot sehingga 45 peratus. Foto Hafiz Sohaimi
SEBAHAGIAN daripada kandang babi yang berselerak sekitar Batu Untung di Kampung Batu Laut. - Foto Hafiz Sohaimi
Berita Harian X