Isnin, 7 November 2016 | 12:02am

Naik taraf sesuka hati modular Moto Z, Moto Z Play

TELEFON modular kini berada di Malaysia, bahkan bagi penggemar gajet yang mengikuti perkembangan teknologi modular ini pasti tertunggu-tunggu kehadiran teknologi yang ditawarkan gergasi elektrik Lenovo menerusi cabang mudah alihnya Motorola Mobility.

Ia susulan pengenalan dua telefon pintar Moto Z dan Moto Z Play baharu di pasaran Malaysia minggu lalu yang boleh dipertingkatkan menggunakan aksesori modular Moto Mods mengikut kehendak dan kesesuaian pengguna.

Jika dilihat hanya kepada telefon semata-mata iaitu Moto Z adalah telefon pintar premium paling nipis setakat ini dengan ketebalan 5.2 milimeter dibangunkan dengan aluminium yang sama digunakan pada pesawat.

Moto Z menawarkan skrin 5.5 inci Quad HD AMOLED, prosesor Qualcomm SnapdragonTM 820 dilonjakkan lagi RAM 4GB memberikan kelancaran maksimum melaksanakan aplikasi berat.

Pada kamera belakang Moto Z dibina bersama kamera beresolusi tinggi 13MP pada bukaan f1.8, penstabil imej optikal dan auto-fokus laser; manakala kamera depan dengan penderua 5MP lampu limpah di hadapan dan lensa sudut luas.

Penulis mendapati spesifikasi kamera yang terbina bersama telefon itu sudah mencukupi untuk memberikan rakaman berkualiti tinggi dalam persekitaran kurang cahaya serta rakaman selfie yang lebih luas untuk memuatkan lebih objek rakaman.

Antara ciri lain adalah pengimbas jari, kuas abateri 2600 mAh, pengecas pantas TurboPower, kapasiti storan dalaman 64 GB, ruang kad microSD selain beberapa siri Moto Experiences.

Sementara itu, Moto Z Play pula menawarkan kuasa bateri yang lebih panjang, prosesor lapan teras (Octa-core ) berkelajuan 2.0 GHz dan disokong RAM 3GB bagi oeprasi maksimum dengan skrin 5.5 inci 1080p Full HD Super AMOLED.

Bahkan Motorola kali ini pergi lebih jauh dengan memperkenalkan kamera telefon 16MP dilengkapi auto-fokus Laser dan PDAF untuk memberikan gambar yang lebih mengagumkan termasuk bagi bahagian depan dengan lensa sudut luas, pada kapasiti bateri 3510 mAh dan TurboPower.

Keunikan bagi telefon pintar ini, adalah kebebasan yang diberikan kepada pengguna untuk menaik taraf telefon mereka sesuka hati menggunakan aksesori modular sekiranya mahukan spesifikasi lebih berkuasa dalam satu-satu segi.

Contohnya, dengan hanya melekapkan secara magnetik modular pembesar suara stereo dari JBL(R) SoundBoost menghasilkan kualiti bunyi umpama set audio televisyen atau mengubahnya kepada tayangan wayang dengan paparan 70-inci di dinding menggunakan mini projektor Moto Insta-Share.

Bahkan jika penulis masih tidak berpuas hati dengan kamera yang disediakan secara binaan dalaman Moto Z Play dan Moto Z, mereka boleh menampal modular Hasselblad True Zoom untuk rakaman luar biasa yang tidak pernah dimiliki mana-mana telefon pintar di pasaran.

Modular Hasselblad True Zoom memiliki lensa zoom optikal 10x untuk rakaman jarak jauh tanpa berkompromi dengan kualiti imej dan lampu limpah Xenon untuk kecerahan melampau ketika rakaman.

Aksesori modular turut memudahkan pengguna menokok kuasa bateri mereka menggunakan pek kuasa tambahan Incipio offGRIDtm yang akan melonjakkan hayat penggunaan bateri kepada tiga kali ganda sekitar 20 jam.

Bagi penulis penggunaan modular sangat menarik kerana ia ditentukan mengikut keperluan unik individu, walaupun selepas dilekapkan secara magnetik di belakang telefon akan membuatkan ia lebih tebal dan tidak selesa dipegang.

INFO:

Moto Z - RM2,699

Moto Z Play - RM1,799

JBL(R) SoundBoost Speaker - RM599

Hasselblad True Zoom Camera - RM1,299

Insta-Share Projector - RM1,399

Incipio offGRIDTM Power Pack - RM499

Berita Harian X