Ahad, 6 November 2016 | 2:45pm
PROJECTOR Band. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Vokalis Projector Band nafi 'menjerit' ketika separuh akhir MM 31


PROJECTOR Band membuat persembahan di pentas separuh akhir Muzik Muzik 31 di Shah Alam, Jumaat lalu. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Mempamerkan aksi mengejutkan di pentas separuh akhir Muzik Muzik 31 di Shah Alam, Jumaat lalu, vokalis Projector Band, Is menyangkal tuduhan dia menjerit ketika mendendangkan lagu popular, Sudah Ku Tahu.

Mengaku tidak mendapat latihan formal dalam bidang vokal kecuali belajar sendiri, Is atau nama sebenarnya, Iskandar Zulkarnain Shafin menjelaskan dia 'menarik' suara mengikut pelbagai teknik pada malam itu.

"Saya tidak lihat aksi saya itu sebagai 'menjerit'. Saya menggunakan seluruh kemampuan vokal dan mempraktikkan bagaimana menarik suara dengan pelbagai teknik," katanya kepada BH Online.

Pada malam separuh akhir MM 31 yang disiarkan secara langsung dari Plaza Alam Sentral oleh TV3, Jumaat lalu, Projector Band mengejutkan peminat dengan persembahan bertenaga.

Malah, peminat menganggap vokal yang dilontarkan Is unik.

Selain Is, Projector Band dianggotai Angah atau nama sebenarnya, Razif Zainuudin, 24, yang bermain gitar utama dan Mat atau Ahmad Khusairi Shaferi, 26, yang bermain gitar bass.

Isnaidi Eidham Razali, 21, atau Edi pula bermain gitar kedua dan Muhammad Syafiq Zainuddin, 22, atau Apit bermain gram.

Menceritakan pengalaman beraksi di pentas separuh akhir MM 31, Angah pula menganggap impian mereka menjadi kenyataan apabila lagu Sudah Ku Tahu ciptaannya sendiri, bolos ke peringkat itu.

"Kumpulan kami ditubuhkan sejak tahun 2013. Sebelum ini, lagu kami lebih popular di YouTube. Hanya tahun ini lagu kami melonjak di arus perdana.

"Kami bersaing dengan nama-nama hebat. Sebelum membuat persembahan, kami sangat gementar... Rasa macam mimpi," katanya.

Angah berkata, ketika berbual dengan anggota kumpulan Hyper Act, mereka sempat berkongsi tip sebelum membuat persembahan pada pertandingan itu.

Berita Harian X