Ahad, 6 November 2016 | 12:22am
Pengusaha belacan gulung tikar akibat pencemaran najis babi di Tanjung Layang

Pengusaha belacan gulung tikar akibat pencemaran najis babi di Tanjung Layang

TANJUNG SEPAT: Pencemaran najis babi terhadap pantai sekitar Tanjung Layang di sini, membunuh perusahaan penghasilan belacan oleh keluarga nelayan di situ.

Ini kerana nelayan yang selama ini menyauk udang geragau sekitar perairan terbabit, tidak tergamak untuk terus berbuat demikian berikutan rasa jijik terhadap kekotoran dan najis babi yang memenuhi kawasan itu.

Pencemaran menyebabkan jeti nelayan Kampung Tanjung Layang juga terbiar, akibat tiada nelayan sanggup keluar masuk ke laut menerusi laluan terbabit yang diselubungi kotoran dan bau busuk.

BEKAS pengusaha belacan, Azrul Nizam Sulaiman terpaksa menghentikan perniagaan kerana pencemaran babi. - Foto Hafiz Sohaimi

Bekas pengusaha belacan, Azrul Nizam Sulaiman, 35, berkata keluarganya bersama kira-kira 20 pengusaha lain terpaksa menghentikan menghasilkan belacan akibat kesan pencemaran yang teruk, sekali gus menjejaskan pendapatan mereka sejak 15 tahun lalu.

Beliau berkata, keluarganya mengusahakan produk makanan itu secara turun temurun ekoran kehadiran banyak udang geragau sekitar pantai Tanjung Layang tetapi sejak 15 tahun lalu, kegiatan terbabit tidak mampu diteruskan mereka.

"Penduduk Melayu di kawasan ini tidak ramai iaitu sekitar 30 keluarga, sebahagian besar daripada kami mengusahakan perusahaan belacan secara tradisi sejak puluhan tahun lalu.

"Apabila kawasan ini semakin kotor dengan selut yang meninggi dan tercemar, kami sependapat perusahaan belacan tidak mampu diteruskan. Akibatnya semua ahli keluarga nelayan di sini terpaksa mencari sumber rezeki lain.

"Dulu jeti di sini meriah dengan aktiviti perikanan tetapi hari ini tiada siapa mahu berada berdekatan kawasan itu kerana bau terlalu busuk akibat lambakan najis babi," katanya.

Rumah keluarganya turut menerima kesan pencemaran najis babi terbabit kerana tinggal kira-kira 200 meter dari pantai.

Azrul Nizam berkata, jika pengurusan pelupusan najis babi kawasan itu dilakukan dengan baik, jeti Tanjung Layang mungkin masih beroperasi sehingga kini dan keluarga nelayan masih meraih pendapatan yang lumayan.

KETUA Kampung Batu Laut, Mohamad Azam Hashim. - Foto Hafiz Sohaimi

Sementara itu,  Ketua Kampung Batu Laut, Mohamad Azam Hashim, 45, berkata sejak najis babi mencemari kawasan pantai, pasir yang keputihan di situ menjadi selut hitam dan menyebabkan orang kampung yang mengusahakan belacan juga menjadi jijik untuk mencari udang di lokasi berhampiran.

Beliau yang membawa BH meninjau jeti terbabit, berkata aktiviti perikanan yang meriah di situ mendorong kerajaan menaik taraf jeti terbabit sekitar tahun 1998 namun sejak enam tahun lalu, jeti itu langsung tidak digunakan.

Mohamad Azam berkata, ternakan babi yang diusahakan tanpa sistem pelupusan sisa yang sistematik serta pengawasan rapi, menyebabkan pencemaran terhadap ekosistem kawasan sekitarnya.

"Ternakan babi di sini bermula dengan kandang-kandang kecil sebelum berkembang kepada skala besar tetapi tetapi tidak mempunyai sistem pelupusan sisa yang sempurna hingga menyebabkan pencemaran yang menyusahkan dan menjejaskan rezeki penduduk," katanya.

Tinjauan BH di Jeti Tanjung Layang mendapati, kawasan sekitar sudah menjadi semak samun dengan bau terlalu busuk akibat pengumpulan najis babi.

Lumpur dasar dan tebing sungai di situ bertukar kehitaman dipercayai akibat mendapan najis babi yang gagal dialirkan ke laut.

PENCEMARAN najis babi mengakibatkan bau busuk di Batu Untung Kampung Batu Laut. - Foto Hafiz Sohaimi
KETUA Kampung Batu Laut, Mohamad Azam Hashim menunjukkan keadaan sekitar Jeti Tanjung Layang yang tercemar dengan najis babi daripada kandang di sekitar Kampung Batu Laut. - Foto Hafiz Sohaimi
ANAK sungai dipenuhi lumpur hitam dan busuk akibat mendapatan najis babi yang tidak mengalir ke laut di Batu Untung Kampung Batu Laut. - Foto Hafiz Sohaimi
PENCEMARAN menyebabkan jeti nelayan Kampung Tanjung Layang tidak digunakan lagi kerana jijik dengan pencemaran najis babi. - Foto Hafiz Sohaimi
Berita Harian X