Isnin, 1 Disember 2014 | 6:51pm

Pengapungan: Wujud mekanisme bantu pengusaha stesen minyak - Senator

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) disaran mewujudkan mekanisme terbaik bagi membantu pengusaha stesen minyak yang mungkin terjejas berikutan pelaksanaan langkah pengapungan terkawal bahan api itu.

Senator Datuk Mohd Salim Sharif berkata, ini disebabkan pada kebiasaannya, setiap pengusaha stesen minyak disyaratkan menyimpan stok bekalan minyak selama dua atau tiga hari.

"Kadar harga belian bahan api ini adalah pada kadar lama...dibimbangi akan ada pengusaha yang gulung tikar dan tak mampu mengurus stesen minyak (mereka).

"Apabila harga minyak diturunkan, kadar simpanan minyak dalam tangki yang melebihi 30 hingga 40 ribu liter ini boleh menyebabkan mereka rugi," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Kerajaan mengumumkan penetapan harga runcit untuk petrol RON95 dan diesel adalah mengikut kaedah pengapungan terkawal mulai 1 Disember 2014.

Kaedah itu menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM) yang diguna pakai kerajaan sejak 1983 bagi penetapan harga runcit bahan api negara.

Harga runcit RON97 turun sebanyak sembilan sen seliter kepada RM2.46 seliter dan harga runcit RON95 pula turun empat sen seliter kepada RM2.26 seliter, berkuatkuasa selepas tengah malam tadi.

Harga runcit bagi diesel pula dinaikkan kepada tiga sen seliter kepada RM2.23 seliter.

- BERNAMA

Berita Harian X