Sabtu, 5 November 2016 | 6:00am

Arsenal bakal musnahkan rekod Spurs?

KOLUM APA KATA EPL: TUMPUAN minggu ini adalah aksi antara Arsenal dan Tottenham Hotspur di Emirates. Perlawanan dua pasukan berjiran Utara London atau North London derby ini menarik disaksikan kerana kedua-duanya berada dalam kedudukan lima teratas ketika ini.

Selepas 10 perlawanan, skuad The Gunners bimbingan Arsene Wenger berada di tangga kedua dengan himpunan 23 mata, sama seperti Manchester City yang menghuni persada manakala Spurs, di tempat kelima dengan ketinggalan tiga mata.

Berdasarkan prestasi semasa, kita dapat lihat kedua-dua pasukan sedang berada pada tahap terbaik dan mempunyai potensi untuk merangkul kejuaraan liga pada musim ini andainya mampu mengekalkan prestasi sehingga ke penghujung musim.

Sejarah menunjukkan Arsenal sentiasa berada di atas Spurs dalam carta liga pada setiap musim sejak tahun 1995. Dan sejak itu juga penyokong The Gunners mewartakan ia sebagai 'St Totteringham's Day' sebagai menunjukkan mereka tidak bisa dipintas lagi.

Musim lalu, Tottenham hampir lagi meleburkan dominasi jirannya itu, namun kekalahan 5-1 kepada Newcastle United pada aksi terakhir menyaksikan pesaing mereka itu berjaya memintas untuk kedudukan kedua, di belakang Leicester City.

Jika kita lihat kepada rekod dalam 48 pertembungan lalu antara kedua-dua pasukan ini, Arsenal mencatatkan 18 kemenangan manakala 10 oleh Spurs selain 20 kali terikat. Arsenal memenangi 13 aksi di laman sendiri manakala Spurs pula lapan.

Pada pertemuan terakhir 5 Mac lalu di White Hart Lane, Spurs dan Arsenal terikat 2-2 manakala di Emirates pada 8 November 2015, kedua-dua pasukan juga terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1.

Di bawah bimbingan Mauricio Pochettino, Spurs dilihat berjaya melonjak dengan pantas untuk bersaing dengan kelab gergasi lain. Kemunculan bintang muda seperti Harry Kane dan Dele Alli jelas memberi tonik buat pasukan ini menyerlah.

Namun saya percaya Wenger ada resepi mujarab untuk memerangkap barisan Pochettino di laman sendiri pada jam 8 malam Ahad ini, untuk memusnahkan rekod tanpa kalah Spurs dan sekali gus mengekalkan dominasi ke atas lawannya itu.

Sementara itu bagi aksi lain, City yang menjinakkan Barcelona pada aksi Liga Juara-Juara pertengahan minggu, dijangka tiada masalah untuk terus mengutip mata penuh apabila melayan kunjungan Middlesbrough bagi kekal mengungguli carta liga.

Liverpool yang tidak beraksi di Eropah dan kini menduduki di tangga ketiga liga, harus juga tiada masalah mengenepikan Watford bagi meneruskan rentak kemenangan. Apalagi kali ini, mereka akan beraksi di depan penyokong sendiri di Anfield.

United yang tewas 1-2 di tangan Fenerbache pada aksi Liga Europa kelmarin dan akan berkunjung ke laman Swansea City, dijangka berdepan laluan sukar untuk mengutip mata penuh tatkala Jose Mourinho kembali tertekan.

Chelsea yang menghuni tempat keempat liga dan turut tidak beraksi di Eropah, pula akan melayan Everton pada awal pagi esok dan Antonio Conte harus memiliki strategi mantap untuk memerangkap lawannya itu di Stamford Bridge. Selamat menonton.

Ramalan Minggu ke-11

Man City 4 Middlesbrough 1

West Ham 1 Stoke City 1

Burnley FC 2 Crystal Palace 1

Bournemouth 2 Sunderland 0

Chelsea 2 Everton 1

Arsenal 3 Tottenham 2

Hull City 0 Southampton 2

Liverpool 3 Watford 0

Swansea City 1 Man United 2

Leicester City 2 West Brom 1

Penulis - Amirullah Andi Nur adalah Penolong Editor Sukan BH

Berita Harian X