Sabtu, 5 November 2016 | 12:02am

Ahli Parlimen Tampin terselamat, MPV terbalik


KEADAAN kereta Proton Persona yang terbabit kemalangan di Kilometer 43, Jalan Seremban-Tampin, berhampiran Kota malam ini.

REMBAU: Ahli Parlimen Tampin, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor, terselamat dalam kemalangan di Kilometer 43 Jalan Seremban-Tampin, berhampiran Kota di sini, malam ini.

Dalam nahas jam 8.10 malam, bekas Menteri Kerja Raya yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire tidak cedera, manakala pemandunya, Saiful Rizal Karim, 48, cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Ibrahim Sharif, berkata siasatan awal mendapati kereta Proton Persona dipandu M Parabakaran, 34, dari arah Seremban, cuba memotong sebuah kenderaan tetapi gagal dan bertembung dengan MPV dinaiki Shaziman dari arah bertentangan.


KEADAAN Toyota Vellfire yang terbabit kemalangan di Kilometer 43, Jalan Seremban-Tampin, berhampiran Kota malam ini. - Foto Ihsan polis

"Kejadian menyebabkan Proton Persona itu berpusing, manakala Toyota Vellfire terbalik," katanya di sini, hari ini.

Ibrahim berkata, kedua-dua pemandu yang cedera dibawa ke Hospital Tampin untuk rawatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X