Jumaat, 4 November 2016 | 5:56pm

Malaysia Airlines lancar pengembangan besar-besaran ke China


KETUA Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, Peter Bellew.

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines hari ini mengumumkan pengembangan besaran-besaran ke China dengan lapan destinasi baharu dan 11 laluan baharu serta 35 kekerapan tambahan penerbangan antara Malaysia dan China bermula awal 2017.

Ia diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang mana kini berada di China untuk lawatan rasmi enam hari bermula Isnin lalu.

Mengulas mengenai pengembangan besar-besaran itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, Peter Bellew, berkata syarikat penerbangan nasional berkenaan bercadang meningkatkan tiga kali ganda perniagaan China dalam tempoh lima tahun akan datang.

Beliau melihat terdapat potensi penerbangan terus ke 20 bandar raya China dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Kuching menjelang 2019.

"Kami mempunyai keyakinan yang besar di China. Jaringan sambungan yang lebih baik akan memantapkan lagi hubungan perniagaan yang lebih erat antara kedua-dua negara.

"Rakyat Malaysia menikmati peluang perniagaan dan pengalaman pelancongan di China. Pasaran pelancong China ke Malaysia sedang berkembang dengan pesat disebabkan oleh makanan yang dikongsi, bahasa dan hubungan budaya," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluar di Beijing.

Selain pertumbuhan awal itu, Bellew berkata, Malaysia Airlines akan menggalakkan pelancongan di Malaysia dan China melalui perkhidmatan bermusim atau secara tidak dirancang ke pasaran percutian utama seperti Langkawi, Kuching dan Kota Kinabalu.

Beliau berkata, enam daripada lapan destinasi baharu yang diumumkan itu, Malaysia Airlines sebelum ini tidak pernah menyediakan perkhidmatan secara terus.

Laluan baharu Malaysia Airlines ialah KL-Haikou, KL-Nanjing, KL-Fuzhou, KL-Wuhan, KL-Chengdu, KL-Chongqing, Kota Kinabalu-Tianjin, Pulau Pinang-Shenzhen dan Pulau Pinang-Shanghai.

Syarikat penerbangan nasional itu akan menambah penerbangan harian kedua antara KL dan Shanghai bergantung kepada slot pada April 2017.

Baru-baru ini, Malaysia Airlines mengumumkan menaik taraf perkhidmatan bagi sektor KL-Hong Kong daripada Boeing 737 kepada the Airbus 330.

Berita Harian X