Jumaat, 4 November 2016 | 12:27pm

Guru maut nahas 3 kenderaan

KUALA KRAI : Seorang guru maut, manakala anak dan isterinya parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 83, Jalan Kota Bharu-Gua Musang berdekatan Peria, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa, Shamsudin Jaafar, 48, guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jawa, Selising, Pasir Puteh meninggal dunia di lokasi kejadian.

Isteri mangsa, Rosnida Yusof, 47, yang juga guru dan anak mereka, Muhammad Solihin Shamsudin,19, parah akibat tersepit dan dihantar ke Hospital Kuala Krai (HKK) untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Ronning, berkata ketika kejadian mangsa sekeluarga yang menaiki kereta jenis Honda Odyssey dalam perjalanan dari Gua Musang menghala Kota Bharu.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa cuba memotong kenderaan, namun gagal sebelum bertembung dengan van dari arah bertentangan dan merempuh lori yang berada di belakang van.

"Akibat rempuhan kuat itu, mangsa maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan, manakala anak serta isterinya tersepit.

"Pemandu van hanya cedera ringan, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan. Semua mangsa dihantar ke HKK untuk bedah siasat dan rawatan lanjut," katanya.

Berita Harian X