Khamis, 3 November 2016 | 6:38pm

Noor Amira tak sabar sambung latihan lompat kijang


ATLET olahraga negara, Noor Amira Mohd Nafiah. - Foto Google

KUALA LUMPUR: Atlet olahraga negara, Noor Amira Mohd Nafiah akan membuat kebangkitan serta memberikan tumpuan khusus dalam acara lompat kijang tahun depan di pentas sukan antarabangsa selepas sering kali bergelut dengan kecederaan.

Pemegang rekod kebangsaan acara lompat jauh dan lompat kijang wanita itu terpaksa menjalani pembedahan tulang keting kiri dan tumit kanan ekoran kecederaan lama di Hospital KPJ Damansara pada April lalu.

Oleh itu, aksi tempatan dan antarabangsa terakhir yang sempat disertai Noor Amira pada tahun ini adalah Kejohanan Dalam Dewan Asia di Doha, Qatar, Terbuka Perak dan Terbuka Pahang, masing-masing dalam acara lompat jauh.

Bagi acara lompat kijang wanita pula, kali terakhir atlet berusia 27 tahun dari Lenggong, Perak itu membuat penampilan adalah di Sukan Universiti Dunia (Universiade) Gwangju, Korea Selatan, tahun lalu.

"Sekarang saya dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan pada April lalu dan proses itu dijangka hingga hujung tahun nanti jadi tahun depan baru saya boleh kembali ke trek.

"Pembedahan untuk kecederaan lama ini dilakukan kerana saya ingin beraksi serta berikan tumpuan dalam acara lompat kijang wanita di Sukan SEA, Kuala Lumpur 2017 dan saya harap tampilkan aksi yang terbaik kelak.

"Apa pun pada bulan Mac tahun depan saya dijadualkan beraksi dalam kejohanan pertama pada bulan Mac dan matlamat saya adalah agar lompatan itu melebihi jarak 13 meter (m)," katanya ketika dihubungi.

Untuk rekod, pada Sukan SEA, Singapura tahun lalu, Noor Amira mewakili negara untuk acara lompat jauh wanita dan 4x100 wanita bergandingan bersama Siti Fatima Mohamad, Zaidatul Husniah Zulkifli dan Komalam Shally Selvaretnam.

Rekod kebangsaan milik Noor Amira dalam acara lompat jauh adalah 6.29m ketika dilakukan di Kejohanan Asia, Wuhan, China pada 2015 manakala dalam acara lompat kijang di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2012 dengan jarak 13.90m.

FAKTA:

6.29m - Rekod Noor Amira dalam acara lompat jauh wanita

13.90m - Rekod Noor Amira dalam acara lompat kijang wanita

19 dibaca
Berita Harian X