Isnin, 1 Disember 2014 | 1:35pm

Pasukan hoki Terengganu dijangka dapat imbuhan selepas juarai liga


Pasukan Hoki Terengganu (THT) mengungguli persada Liga Hoki Malaysia dan dinobatkan juara keseluruhan setelah menang besar 9-2 ke atas pasukan Kelab Hoki Sapura Kuala Lumpur pada aksi terakhir di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu, semalam. - Foto Aswadi Alias

KUALA TERENGGANU: Pasukan Hoki Terengganu (THT) yang mencipta sejarah buat julung kali muncul juara Liga Hoki Malaysia (TNB/MHL) 2014 dijangka akan menerima imbuhan daripada kerajaan negeri.

Presiden Persatuan Hoki Negeri Terengganu (PHNT), Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, berkata imbuhan yang belum ditentukan itu adalah sebagai penghargaan kepada pemain-pemain yang telah mengharumkan nama negeri dalam saingan liga hoki itu.

"Saya percaya kerajaan negeri akan memberi suatu imbuhan atas kejayaan itu," katanya kepada BERNAMA di sini hari ini.

Semalam, THT mengungguli persada Liga Hoki Malaysia dan dinobatkan juara keseluruhan setelah menang besar 9-2 ke atas pasukan Kelab Hoki Sapura Kuala Lumpur pada aksi terakhir di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Wan Ahmad Nizam berkata, ini adalah kali kedua THT menyertai kejohanan itu namun dalam percubaan pertamanya pada tahun lepas, mereka gagal mencapai apa-apa kejayaan.

Beliau berkata, selepas ini THT akan menghadapi kejohanan kalah mati untuk merebut Piala Tenaga Nasional Berhad (TNB) 2014 yang akan bermula 5 Disember.

Memandangkan prestasi semasa pasukan itu yang berada pada tahap terbaik, Wan Ahmad Nizam berkata beliau yakin pasukan THT mampu melangkah ke saingan akhir, tambahan pula THT mendapat 'bye'.

"Juara (THT) dan naib juara liga, KLHC (Kelab Hoki Kuala Lumpur) yang juga juara buat kali ketiga berturut-turut akan menunggu saingannya dalam separuh akhir," katanya.

Esok Konfederasi Hoki Malaysia akan mengadakan undi yang membabitkan empat pasukan iaitu pasukan TNB, UniKL, Sapura HC dan Maybank.

Suku akhir pertama Piala TNB bermula 5 Disember dan suku akhir kedua pada 7 Disember. Kemudian separuh akhir yang pertama pada 10 Disember dan separuh akhir kedua 12 Disember.

Bagi pasukan THT, skuad kendalian Sarjit Singh itu akan bermain pada 10 Disember di Kuala Terengganu sebagai tuan rumah separuh akhir pertama sebelum bertandang ke Bukit Jalil untuk separuh akhir kedua sementara final dijadualkan pada 14 Disember.

- BERNAMA

Berita Harian X